Isnin, 3 Januari 2011

Al-Fatihah

Assalamualaikum..

Lama betul aku tak bercerita kat blog ini. Hari ini adalah hari ketiga tahun baru 2011. Menginjak aku ke usia yang baru, 22 tahun. Alhamdulillah aku masih dipanjangkan umur untuk bernafas. Gembira rasanya kembali ke bumi Terengganu dan melihat pemandangan yang jauh berbeza dari tanah kelahiran aku.

Hari pertama mula kuliah kelas pertama batal. Hurm...kaki aku sakit melecet sebab pakai kasut baru. Ketat pulak rasanya. Baru nak jadi perempuan Melayu terakhir aku dah tak sanggup. Akhirnya aku berjalan dengan sarung kaki je masa naik tangga menuju ke kelas pagi ini. Betul la cakap orang kalau nak cantik kena tahan sakit. Tapi aku rasa takpelah kalau aku tak cantik dari ku sakit terseksa yang penting hati ini aku jaga.

Tapi yang aku nak cerita ni bukan tentang kehidupan aku selepas kembali ke asrama. Jauh sekali untuk berbicara tentang kecantikan. Aku hanya ingin berkongsi kisah yang menimpa aku dan keluarga aku. Tahun-tahun baru sebelum ini hanyalah satu sambutan biasa dan tidak pernah memberi sebarang makna yang signifikan kepada aku dan ahli keluarga yang lain. Bila menjelang tahun baru yang bermain di fikiran aku hanyalah ulang tahun kelahiran aku yang jatuh pada tanggal 2 Januari.

Namun kali ini semuanya berbeza. Kami kehilangan orang yang sangat kami sayangi. Seorang anak yang taat, bertanggungjawab. Kakak yang baik dan pengasih serta adik yang sering bertolak-ansur. Tarikh lahir aku yang jatuh pada awal tahun baru ini bukan lagi peristiwa yang penting untuk aku ingati dan diraikan oleh ahli keluarga aku.

28.12.2010.

Inilah tarikh arwah kakak aku dijemput PENCIPTA-nya. Ketika kami belum bersedia dengan sebarang kemungkinan itu, dia terus pergi tanpa sempat meninggalkan sebarang pesanan buat kami. Siapa menduga kesakitan yang dia alami itu sebenarnya sudah menjamah nyawanya selama dia menderita sakit. Pada pandangan mata kami sakitnya tak seberapa tapi derita yang dia tanggungi hanya arwah dan Allah yang tahu.

Masih terngiang lagi kata-kata yang dikeluarkan doktor yang merawat arwah kak Ngah. Aku betul-betul tak sangka kematian pertama dalam keluarga aku dan melibatkan orang yang dekat dengan aku dan keluarga dan aku adalah orang pertama yang mendapat berita pemergian arwah daripada doktor.

Terhiris hati aku mendengar tiap patah kata yang keluar dari mulut doktor itu.

Sekujur badan yang kaku dan tidak mampu untuk berbuat apa lagi dan hanya rohnya yang berharap ahli keluarga terus menyedekahkan bacaan Al-Fatihah dan Yassin serta doa yang memberi keringanan padanya bila bertemu dengan Allah. Angah terbaring lena. Seakan-akan itulah tidur yang paling lena pernah dia dapat.

Inilah fasa baru dalam hidup kami. Angah pergi meninggalkan kami dalam keadaan kami tak sangka dan dia tinggalkan kami dalan situasi kami sekeluarga hidup selesa dengan segala bakti yang dicurahkannya sepanjang hayatnya. Kami masih teringat kata-katanya. Dia sering berkata semua yang dia buat ini untuk mak ayah dan adik-adik. Dia akan lepaskan kami semua habis sekolah habis belajar baru dia akan uruskan dirinya. Dia tinggalkan kami saat dia yakin anak sulung dalam keluarga kami iaitu abang sudah mampu untuk memikul tanggungjawabnya menjaga adik-adik. Kasihnya tak pernah kurang walau ketika dia sedang bertarung memperjuangkan nyawanya....

Al-Fatihah untuk Arwah Siti Safura Binti Foziyah.. Semoga Dia ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan diangkat darjatnya disisi Allah.