Isnin, 28 Februari 2011

S.A.B.A.R.

Assalamualaikum...


'Sabar itu sebahagian daripada iman'


Mesti kalian dah biasa dengar ungkapan ini kan.
Sekarang ini kesabaran aku benar-benar teruji. Tiap kali aku mula memulakan tekad untuk menjadi insan yang lebih baik secara bersungguh-sungguh sering kali itulah aku akan ditimpa dugaan yang MAHA HEBAT.

Malam tadi juga aku baru saje mula kelas silat. Walaupun baru belajar sikit je tapi aku seronok. Harap-harap aku sempat la nak habiskan semua latihan sebelum aku graduate memandangkan aku lambat join kelas ini.
Apa yang aku nak utarakan ni bukan pasal ilmu persilatan tetapi mengenai apa yang diungkapkan oleh tenaga pengajar aku. Beliau cakap nak belajar apa-apa pun mesti kena sabar dan tak boleh nak tergopoh-gapah kerana sabar itu sebahagian daripada IMAN..
Kalau kita ini tidak sabar maknanya iman kita lemah. Selama ini aku mudah sangat nak marah, panas baran tak tentu hala. Kalau ada yang silap sikit pastinya ada yang jadi mangsa serangan madah maut aku. Hai....bertahun-tahun la aku ni hidup aku cuma pandai mengungkapkan kalimah sabar itu sedangkan aku tak ikut pun, aku tak fahami dan aku tak hayati menyebabkan aku kurang nak amalkan ilmu sabar ini.

Satu yang kita kena faham, sabar ini bukanlah kemahiran yang boleh dipelajari, sebaliknya sesuatu yang perlu kita amalkan...
Sabar ini adalah akhlak. Maka bila disebut akhlak kita perlu tau apa yang dimaksudkan dengan akhlak. Menurut Imam al-Ghazali, akhlak itu ialah satu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan tanpa pertimbangan terlebih dahulu. Oleh itu, kita semua khususnya kepada diri aku sendiri, muhasabah diri dan lihat selama ini perlakuan kita ini banyak ikut pertimbangan atau tidak. Jika perlakuan kita itu tidak melalui pertimbangan adakah perbuatan kita itu perbuatan yang baik dan memberi manfaat atau perbuatan yang buruk dan mendatangkan musibah??


Renungkan...


Jika baik kelakuan kita baik bermakna baiklah akhlak kita sebaliknya, jika buruk kelakuan kita maka istighfarlah sahabat sekalian..
Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu dan dibukakan jalan untuk kita berubah ke arah yang lebih baik.
Kembali kita ke akar umbi persoalan yan aku ungkaplan awal tadi iaitu sabar. Sabar itu adalah satu contoh akhlak mulia. Bersabar dengan setiap yang ditimpakan kepada kita sama ada yang baik atau buruk. Pasti ada yang tertanya-tanya apa yang aku sebutkan dengan sabar kepada perkara yang baik???
Jika bersabar dengan sesuatu yang buruk itu sudah pasti kerana ketabahan kita diuji, iman kita diduga. Ada firman Allah yang membawa makna lebihkurang begini :bahawa manusia ini tidak layak untuk mengaku dirinya beriman selagi mana Allah tidak menimpakan ke atasnya satu ujian yang mampu menguji kesabarannya (maaf saya tidak pasti dari surah mana).


Ingatlah teman,

Saat kita diberi kesenangan oleh Allah saat itulah kita dalam cubaan yang lebih besar dari kesusahan. Pada ketika inilah manusia mudah lalai dengan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Ada yang selepas diberi kesenangan lupa untuk bersyukur kepada Allah dan merasakan dia berhak atas segalanya kerana usaha keras yang dilakukan. Jika tika ini sabar kita menurun maka kita akan mula jadi tamak. Kita mula mengambil hak orang lain. Hal ini kerana kita terburu-buru dengan limpahan kesenangan itu. Tidak sabar untuk menikmatinya sehingga lupa untuk bersyukur dan memikirkan keagungan Allah mengurniakan segala yang ada.


Indahnya iman serta cantiknya sabar yang wujud dalam diri kita tidak kira masa susah atau senang.


Maka sahabat bersabarlah dalam apa jua situasi...


Aku katakan ini bukan sahaja untuk kalian yang membaca tetapi utamanya adalah untuk diri aku sendiri yang sering leka dengan apa yang aku miliki...
Aku berbangga ketika aku capai kejayaan sehingga tidak sabar untuk menunjukkan kepada semua. Aku kecewa dan patah hati apabila aku gagal mencapai apa yang aku hajati. Tika ini juga aku tidak sabar menunggu masa yang sesuai untuk aku miliki apa yang aku inginkan. Ingatlah..ada ketikanya masa itu belum sampai lagi untuk kita mendapatkan sesuatu. Mungkin saja pada pemikiran kita itu adalah yang terbaik buat kita namun Allah itu maha mengetahui segala yang di langit mahupun di bumi. Kita ini adalah hamba yang DIA ciptakan. Mana mungkin kita lebih tahu apa yang baik untuk kita lebih dari TUAN kita sendiri.
Kemungkinan jika diberikan kesenangan ketika mahukannya akan menyebabkan kelalaian, boleh jadi kemewahan yang melimpah buat kita lupa pada hak-hak yang lain..


MAKA...


Sabarlah sehingga tiba masanya itu kita akan dapat apa yang sepatutnya menjadi hak kita. Sementara itu..berusahalah sedaya mungkin dan bertawakkallah kepada Allah...
Sesungguhnya Allah itu tidap pernah membuat aniaya kepada hambaNya dan segala yang diturunkan kepada hambaNya itu adalah semampu dan sedaya hamba itu untuk menanggungnya selama mana hamba itu terus beriman kepada Allah.


Ya Allah...

Semoga kau terus manjadikan aku hambaMU yang benar dan sabar. Sesungguhnya kau sentiasa bersama orang yang benar dan sabar...

WASSALAM

Khamis, 24 Februari 2011

PEKA

Assalamualaikum...

Sebenarnya aku sendiri tak tau apa yang aku nak cerita kat sini. Dah lama sangat aku tinggalkan dunia kecintaan aku ni. Aku masih cuba mengharungi hidup ini dengan lebih baik selepas kehilangan kakak tersayang. Pada dasarnya semua baik-baik sahaja. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Tapi setiap kali kalimah 'Angah' menjengah ke gegendang telinga aliran air mata ini terlalu deras untuk terbit. Aku tak mahu luahkan perkara ini dihadapan keluarga. Aku nak semua orang gembira. Aku tak nak sesiapa risaukan aku di sini yang jauh dari pandangan mata mereka. Lebih-lebih lagi emak pasti gundah perasaannya risaukan aku yang tak mampu untuk fokus dengan pelajaran. Sahabat sekalian yang sudi membaca ruangan ini doakanlah yang terbaik supaya aku terus kuat dengan dugaan ini.

Sekian lama aku tidak memberikan sebarang cerita baru bukan sahaja kerana aku sering terganggu dengan pemergian arwah Angah tetapi juga kesibukan seharian dengan tugasan dan tanggungjawab aku sebagai pelajar. Selain itu juga aku agak terganggu dengan kata-kata seorang kenalan yang mengatakan penulisan aku ini merepek. Dari segi etikanya memang la mengarut tapi aku buat blog ini bermula dengan suka-suka untuk kongsi cerita yang bagi aku lucu dan menarik untuk dikongsi. Tambahan pula aku duduk jauh dari keluarga aku dan menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. Mungkin kisah yang aku kongsi boleh memberikan satu sisi pandangan hidup yang lain dalam kehidupan di universiti. Penulisan aku berbentuk santai. Penulisan aku ini cerita aku. Maka ada masanya cerita aku memang mengarut kerana aku menulis bersama emosi aku. Ada masanya juga ketika emosi aku tidak stabil aku mungkin mengisahkan sesuatu dalam artikel aku yang menyentuh peribadi orang lain. Maka aku minta maaf atas kekhilafan aku itu kerana aku tak sempurna dan aku masih lagi manusia yang sangat lemah akhlaknya. Apa pun aku ucapkan terima kasih kepada sahabat yang memberi komen kepada penulisan aku. Sekurang-kurangnya aku diberi kesedaran tentang kelemahan aku sebagai penulis dan aku mampu untuk menjadi penulis yang baik satu hari nanti.

Banyak aku perlu buat sebenarnya untuk diri aku sendiri. Luarannya orang mungkin melihat aku memiliki banyak kelebihan dan kekuatan yang berkualiti untuk berjaya, namun sebaliknya bagi diri ini. Aku melihat aku memiliki banyak kelemahan yang mampu untuk menundukkan kualiti yang aku miliki dalam diri aku ini. Aku ni cepat marah, mudah menolak seseorang yang jauh pemikirannya dari aku dan mudah prasangka. Nilai-nilai yang sangat burukkan...
Sahabat yang mengenali aku, jujurlah dengan aku andai ada yang aku lakukan itu salah. Tegurlah aku tapi jangan mengkritik. Aku jujurnya memang benci dikritik.
Sedarlah sahabat bila kau kata kau menegur, cuba kau nilai kembali. Benarkah kau menegur atau sebenarnya kau lebih mengkritik sehingga yang dikritik itu merasa dirinya telah jatuh. Bukan sekadar jatuh, tetapi jatuh dengan teruknya sehingga tidak mampu lagi nak bangun rasanya. Setiap kalimat yang keluar dari mulut kita semuanya memberikan kesan kepada orang lain sama ada kita perasan atau tidak. Maka, kita perlulah lebih peka kepada perasaan orang lain yang berada di sekeliling kita.

Baiklah, aku rasa aku dah jumpa apa yang aku nak perkatakan kali ini. Topiknya PEKA KEPADA PERASAAN ORANG LAIN.

Bila aku cakap tentang peka dengan perasaan orang lain aku benar-benar memaknakan kata-kata itu. PERLU PEKA KEPADA PERASAAN ORANG LAIN.
Kata-kata ini aku rujuk kepada semua sahabat yang aku sayangi terutamanya sahabat yang suka bergurau.

Fahamilah yang bukan semua orang boleh terima gurauan anda. Orang yang suka bergurau sekalipun ada masanya dia tak rasa mahu bergurau untuk masa yang tertentu. Ketahuilah ketawa yang berlebihan itu mampu menyebabkan kita hilang tumpuan dan mudah lupa. Ramai yang kata aku ni tak boleh dibawa bergurau. Orang kata aku ni serius. Dah kalau masa dalam kelas masa aku nak belajar nak dengar ilmu yang disampaikan takkan la aku nak bergurau jugak. Takkan la masa penting macam tu aku nak bawa bergurau kan. Aku tahu ada antara kalian ini yang bijak pandai. Tak tumpu perhatian dalam kelas pun bila balik bilik korang mampu nak belajar sendiri. Tapi aku ni bodoh, kurang cerdik, kurang pandai, kurang cerdas dan banyak lagi la yang kurang. Aku pun teringin nak tunaikan impian emak dan ayah aku untuk lihat aku capai anugerah dekan. Berpada-padalah bila nak bergurau senda serta melawak. Maka sahabat yang disayangi fahamilah gurauan itu biarlah kena pada masanya. Jika anda rasa seseorang itu tidak boleh dibawa bergurau jalan mudahnya janganlah kalian bergurau dengan mereka. Anda tidak perlu berasa hati dan anda juga tidak akan melukai hati orang lain.

Bukankah dalam Islam sendiri menggalakkan kita agar menjaga hati sesama muslim dan tidak membuatkan mereka merasa jauh hati dengan perkataan dan perlakuan kita.

Kita pintar menuturkan kata-kata yang Islamik tapi sayangnya sejauh mana kita melaksanakan apa yang kita ketahui itu????


Adakah bagi kita cukup sekadar mengetahui dan memahami tetapi tidak melaksanakannya.

Saya bagi contoh yang paling mudah.
Semua manusia perlu untuk makan supaya tidak lapar, supaya dapat tenaga serta memenuhi tabii manusia yang mempunyai nafsu untuk makan. Anda berasa lapar dan lemah serta memerlukan tenaga. Anda tahu caranya adalah dengan makan supaya rasa lapar dihindari dan anda mampu menjana semula tenaga.

NAMUN PERSOALANNYA ADAKAH HANYA SEKADAR TAHU BAGAIMANA MENGATASI RASA ITU SUDAH CUKUP UNTUK MENGHILANGKAN RASA LAPAR TADI???
Jawapannya SUDAH TENTU TIDAK!!!

Bagaimana sekalipun anda menggunakan kekuatan psikologi anda untuk bertahan dengan memikirkan anda kenyang, anda masih perlu untuk makan.

Begitu juga dengan perlakuan kita sekadar tahu berperilaku baik itu mampu buat orang senang tetapi tidak melaksanakannya maka orang tidak akan senang dengan kita, malahan kita lebih hina lagi di mata orang lain bahkan disisi Allah.
Jika kita tidak tahu maka kita akan dimaafkan tetapi jika kita sudah tahu tetapi masih melakukannya bukankah kita tergolong dalam golongan yang bodoh.
Kita marah bila dikatakan bodoh oleh orang lain tetapi itulah kita BODOH!!!

Maaf jika ada yang merasa kurang senang dengan setiap pemilihan kata yang aku pilih tetapi bagi aku bahasa yang terus dan tidak bersimpang-siur sahaja yang paling mudah untuk aku menyampaikan matlamat utama aku. Aku juga insan yang lemah. Aku seorang yang mudah lupa dengan apa yang pernah aku lakukan kepada orang lain tetapi aku sukar melupakan apa yang pernah orang lakukan kepada aku. Mudah-mudahan selepas ini aku perbaiki kelemahan aku ini. Semoga selepas ini setiap kali aku membaca karya ini aku tidak akan memperlakukan orang lain sepertimana aku tidak suka diperlakukan. Aku akan mudah melupakan apa yang pernah dilakukan oleh orang lain kepada aku dan sukar melupakan apa yang pernah aku lakukan kepada orang lain.

KALIAN YANG MEMBACA...

MAAF DI ATAS SEGALA KEKASARAN BAHASA AKU NAMUN ITULAH YANG INGIN AKU SAMPAIKAN. JIKA MEMBACA BLOG INI MAMPU BUAT KALIAN MELUASKAN PEMIKIRAN KALIAN TERUSLAH MEMBACA, JIKA MEMBACANYA BUAT KALIAN TERLUKA DAN MERASA JELIK KEPADA DIRI YANG HINA INI BERHENTILAH MEMBACANYA.
SAHABAT,
JIKA AKU INI SAHABAT KALIAN TEGURLAH AKU BERTERUSAN WALAU ITU AKAN MENYAKITI AKU.
NAMUN SAKIT ITU YANG AKAN MENDIDIK AKU DAN MEMBUATKAN AKU INGAT UNTUK MEMPERBAIKI KELEMAHAN AKU SEBAGAI SEORANG MANUSIA DAN HAMBA KEPADANYA....

WASSALAM...