Khamis, 29 September 2011

ABC

Assalamualaikum.

Aku baru je lepas post sebuah kisah yang agak hangat sehangat cuaca yang aku kena lalui hari ini.
Disebabkan rasa hangat yang aku kena lalui ini maka tadi petang aku baru je pergi minum ABC (air batu campur) dengan budak kecik Nur Afaf Atiqah Mohd Radzuan.
Masa aku minum tu kan..kan..kan..secara tiba-tiba aku terkenang.


Cer teka aku terkenang siapa dan apa???

HAH!!! Korang tak tahu kan..aku memang dah agak.
Aku terkenang mak ayah aku la. Aku kan anak manja.

HAHAHAHA!!!

Masa aku minum ABC tu kan tiba-tiba je aku terasa seperti aku kat tepi sebatang jalan di sebuah kampung. Jalan tu tak berapa sibuk. Sekali-sekala sahaja terdapat beberapa buah kenderaan lalu dan menghadiahkan bunyi deruman enjin yang sederhana serta rasa angin kuat sepintas lalu. Jalan yang aku kenang itu adalah sebatang jalan kat kawasan kampung sebelah nenek sebelah mak aku. Lokasinya di Jenderam Hilir, Dengkil Selangor.
Selalunya kalau balik sana waktu tengah hari aku selalu ajak ayah aku minum ABC dan air tebu kat situ.

BEST SANGAT!!!

Tempat jualan itu bukan besar mana pun. Sama macam gerai-gerai air tepi jalan-jalan kampung tu tapi selesa sebab berbumbung dan ada kerusi meja untuk duduk makan di situ. Seberang jalan beerdepan dengan gerai ABC tu ada kebun tebu. Pakcik jual air tebu tu ambil tebu dari situ la. Fresh..memang sedap la. Rindu sangat nak pergi sana lagi. Antara yang suka juga pergi tempat itu adalah arwah Kak Ngah. Arwah memang manja dengan ayah. Selalunya nak pergi mana-mana nak makan apa-apa memang dia suruh ayah yang bawa dan belikan walaupun usianya dah nak masuk 30 tahun tapi dia lebih suka minta dengan ayah.

Apa-apa pun ABC dgn air tebu kat kampung tu memang TERBAAAIIKKK!!!!!

Semalam mak aku call. Tak ada apa yang penting dan mendesak pun tetapi sekadar nak beritahu aku yang adik bongsu aku balik rumah (mentang-mentang kau kat Jengka je bukan main balik selalu ya). Macam yang aku cakap tadi tiada hal yang mendesak selain untuk memaklumkan kepulangan si bongsu ke rumah (aku ulang sebab aku confuse kenapa mak aku telefon hanya kerana itu..HANYA KERANA ITU???? JENG..JENG..JENG..)

Aku menyimpulkan kemungkinan bahawa :
  • Mak rindu dengan aku
  • Mak merasakan adalah lebih seronok kalau aku ada juga balik masa adik aku ada kat rumah
  • Mak nak aku balik sebenarnya tapi tak mendesak sebab aku jauh dan banyak hal nak uruskan
  • Atau juga uban mak dah banyak, kepala dia gatal jadi kalau boleh nak aku balik untuk cabut uban dia (hahaha..tak termasuk dalam jangkaan aku pun sebenarnya semalam)
Sabarlah emak...hujung bulan Oktober ini Achik balik KL ok. Pas tu kita pergi jalan-jalan kat Putrajaya dan Makan Besar satu keluarga bagi meraikan hari-hari terakhir abang sebagai orang bujang.
Rindu betul dengan family lepas 4 bulan cuti kena balik Terengganu pula demi ilmu. Tak pe la inilah namanya pengorbanan. Tak lama je lagi nak bulan Oktober.
Bersabarlah wahai hati...

Jumpa lagi kawan di lain waktu di lain coretan.

WASSALAM...

Salah Pihak Pengurusan???

ASSALAMUALAIKUM KAWAN-KAWAN...

Semester kali ini aku agak tertekan dengan karenah pihak pengurusan tempat pengajian aku. Bukan sahaja menyusahkan pelajar tetapi juga turut melibatkan para pensyarah. Bermula dengan penetapan jadual kuliah dan pindaan yang dilakukan hampir tiga kali tak sampai masa sebulan pengajian bermula. Lebih merimaskan apabila jadual yang dikeluarkan itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan yang berlainan bagi satu kelas yang sama sedangkan kelas berlainan itu hanya melibatkan kelas tutorial dan kebiasaannya sebelum ini kelas tutorial dicari sendiri oleh para pelajar. Bertambah melemaskan apabila tiba-tiba ada je entah siapa-siapa yang nak jadi penyelamat keadaan tetapi akhirnya jadi ‘cakap-cakap belakang’ kerana tindakan mereka yang mengusutkan keadaan yang sedia ada bersimpul-simpul.

Itu satu hal mengenai jadual kelas.

Beralih kepada terpaksa berurusan dengan pihak HEPA.

Semua hal surat-menyurat kami sediakan, dihantar dan diberi kelulusan untuk program yang dirancang. Tetapi entah kepada siapa perlu ditudingkan jari, majlis yang mula tadi telah sedia diluluskan terpaksa ditunda kerana terpaksa beri laluan kepada program universiti. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Tidakkah pihak yang memberi kelulusan itu, menyemak kalendar aktiviti mereka sehingga tidak perasaan ada aktiviti besar lain yang melibatkan universiti turut ditetapkan pada tarikh itu. Perancangan untuk sesuatu majlis seperti itu pastinya telah dibuat lama dan mereka sedia maklum tentang agenda itu tapi masih perkara kurang bijak seperti ini boleh terjadi.
Ini bukanlah kali pertama aku berhadapan dengan masalah seperti ini tetapi telah beberapa kali kesalahan bodoh ini diulang. Walaupun aku tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti yang perlu berurusan dengan pihak yang disebut tadi namun aku sendiri terasa bahangnya berurusan dengan kumpulan yang sebegini.

SANGAT-SANGAT TERTEKAN.

Terkenang seorang sahabat aku sampai menitis air mata terpaksa berurusan dengan golongan yang tidak professional ini. Mesti kalian tertanya-tanya mengapa aku katakan sebagai tidak professional?
Mereka ini golongan yang tak faham masa bekerja. Susah nak jumpa ada di pejabat. Bila kami datang nak jumpa orang yang berkenaan selalu sahaja tidak ada. Paling menyakitkan hati apabila alasan yang diberikan adalah orang terlibat keluar minum sedangkan jam baru menunjukkan pukul 9.30 pagi atau 12.00 tengah hari yakni belum lagi waktu untuk rehat. Lebih sedih apabila pegawai-pegawai bertugas itu senang-senang hati mengherdik pelajar yang datang, sedangkan memang dah termaktub dalam tanggungjawab mereka menguruskan perkara-perkara terlibat. Penggunaan bahasa-bahasa yang kasar dan tidak sopan.
Contohnya apabila ditanya soalan-soalan tertentu dibalas dengan jawapan, “awak tak nampak ke yang tulis kat pintu tu?”, (diucap dalam nada yang sinis sambil matanya tertancap pada helaian akhbar yang sibuk dibelek sejak pelajar masuk ke pejabat seolah-olah pejabat tu bapak dia yang punya). Tolonglah sedar ye kami ni walaupun masih belajar tapi gaji awak tu dibayar dengan duit pinjaman kami merangkap duit kami secara tak langsung sebab kami akan bayar balik pinjaman itu. Lebih dari itu mak ayah kami bayar cukai. Gaji kalian itu dibayar oleh kerajaan menggunakan duit bayaran cukai rakyat maka bekerja dengan baik dan penuh amanah sebab kat akhirat nanti dipersoalkan semula malahan didunia ini dinilaikan dengan keberkatan duit gaji bulanan kalian itu. Kalau kerja macam sampah cukup bulan ambil gaji mana nak datang keberkatan, bila gaji dah tak berkat buat beli makan minum yang akhirnya jadi darah daging macam mana pula hati itu akan dibentuk??? Fikirlah...kita nak hidup dalam didunia ni lama lagi kalau tak berubah makin banyak kerosakan yang akan kita buat.

Sahabat yang membaca,

Aku bukan mahu merendah-rendahkan kumpulan yang aku sebutkan ini tetapi mereka yang meletakkan kedudukan mereka itu serendah-rendahnya. Dimanakah etika kerja yang sepatutnya dijunjung tinggi berpaksikan akhlak Islamiah. Malahan kisah ini juga sebagai peringatan kepada aku sendiri dan kalian juga supaya bila kita sudah berada di alam pekerjaan hendaklah amanah memikul tanggungjawab. Setiap apa yang kita buat di bumi Allah ini akan dipersoalkan kelak. Dosa kita dengan Allah dah tak tertanggung banyaknya ini pulak dosa menzalimi orang lain dengan memberatkan bebanan kerja mereka sedangkan orang yang meringankan beban saudaranya itu dibalas dengan balasan yang jauh lebih baik dari Allah.
Kisah ini sebagai iktibar. Bukan berniat menuding jari kepada sesiapa.
WASSALAM

Selasa, 27 September 2011

Sangka-menyangka

Assalamualaikum

Aku ni sedang seronok ni melayan internet bersama dua orang lagi sahabat yang merangkap classmate,housemate,coursemate and carmate (kawan satu kereta). Perkara yang menyebabkan hal ini terjadi adalah kerana satu insiden yang kami tak sangka akan terjadi kepada seseorang yang tidak kami sangka-sangka. Tanpa kami menyangka, sangkaan kami selama ini telah terbukti melalui penceritaan seorang saksi yang langsung tidak ada kepentingan dengan individu yang telah kami sangka itu...

Aku dengan dua orang lagi kawan aku ni boleh tahan rapat la dengan seorang mamat yang berpangkat abang. Boleh dikategorikan baik la juga kerana dia seorang yang bertanggungjawab sepanjang kami dibawah penyeliaan dia dalam satu aktiviti. Sepanjang mengenali diri 'Abang Tak Sangka' ini, aku boleh katakan yang abang ni baik, mengambil berat dan bertanggungjawab. Tetapi ada sesuatu yang semacam misteri dan pelik tentang dia. Kalau dia bersama dengan 'Tukul Besi' (gelaran bagi seseorang yang semua orang sangkakan adalah awek dia) dia jadi macam kaku. Senyum dengan kami pun tidak. Masa itu mungkin dia sedang berusaha meng'cover' sifat 'teman tapi mesra' dirinya dengan kami. Masa situasi ini berlaku depan mata aku, aku telah mengaklasifikasikan abang ini sebagai seseorang yang aku tak boleh percaya sangat perangai dia dan dia berkemungkinan seorang yang mudah buat orang perempuan suka dengan dia tapi dia tak nak orang tahu itu adalah sikap dia. Senang cakap dia ini berpura-pura tentang sikap dia yang sebenarnya. Mungkin cukup dulu pengenalan diri 'Abang Tak Sangka' ini.

Beralih kepada bab baru, kawan yang aku nyatakan tadi sebagai seorang yang tidak mempunyai kepentingan langsung dengan 'Abang Tak Sangka' telah ternampak 'Abang Tak Sangka' bersama seorang perempuan dengan perlakuan yang sangat mesra (kawan aku tu tak kenal pun siapa abang tu tetapi setelah aku dan kawan aku soal siasat kawan kami itu terus kami tahu siapakah orang itu tanpa rasa syak lagi). Perkara ini dikuatkan dengan satu insiden yang aku pun tak ada niat langsung nak ambil tahu dan peduli tapi telah dibentangkan Allah di hadapan mata aku melalui cermin pandang belakang kereta yang aku naiki. Baik-baik abang tu masa kenal dengan kami, tak pernah lagi kami mempergunakan kebaikan 'Abang Tak Sangka' walaupun selalu berniat macam tu (biasanya idea tu datang daripada aku dan bukan nak mempergunakan tapi minta tolong meringankan hal-hal yang berkaitan dengan kenderaan). Tetapi 'insiden cermin pandang belakang' yang berlaku depan mata aku telah menyebabkan hati aku terdetik betapa 'Abang Tak Sangka' telah sedikit hanyut kerana perempuan. Sekarang ni yang aku dapat tengok dan dengar 'Abang Tak Sangka' ni apa je yang dia buat selalu dengan 'Perempuan Itu' (bukan 'Tukul Besi' kata-kata orang era percintaan yang ini telah berakhir). Takat nak pergi sana sini pun dengan 'Perempuan Itu' berdua je kot (memang sangat tak boleh blah, dulu kitorang nak mintak tolong hantar pergi stesen bas sebab nak balik kampung pun pikir berhari-hari sedangkan kitorang kalau pergi mesti tiga sekawan, cerita akhir kitorang tetap tak jugak minta tolong 'Abang Tak Sangka")
Sayangnya perkara ini terjadi. Tak tahu nak rasa apa. Macam kecewa pun ada sebab aku dah rasa dia macam abang dan dia layak dapat perempuan yang baik. Perempuan yang dengan dia ketika ini  bukanlah aku nak kata tak baik, tapi cerita yang aku dengar dia, dah ada orang lain tapi dalam masa yang sama main kayu tiga. 'Abang Tak Sangka' pun tahu hal itu tapi dia seakan merelakan segalanya. Tak faham la dunia sekarang ni kan.

Hurmmm... (sambil otak aku sibuk memutarkan ayat 'apalah nak jadi sekarang ni..')

Mesti kalian berfikir apa sebenarnya yang aku nak sampaikan. Sebenarnya aku nak bercerita sahaja. Tapi jarang sangat kalau aku post cerita baru tapi tak ada makna tersiratkan. Apa yang aku nak cakap kat sini adalah jangan kita sangka apa yang kita sangka itu selalu betul. Ada masa jangkaan yang kita buat itu tanpa disangka-sangka meleset sama sekali (tiba-tiba aku teringat ayat si Saha 'tak sangka betul, betul-betul tak sangka sangkaan aku meleset beb'). Apabila sangkaan kita meleset berkemungkinan kita akan rasa kecewa. Macam yang aku rasa sekarang ni. Tapi apa-apa pun jangan la kita suka menyangka perkara yang bukan-bukan sebabnya boleh datangkan mudharat pada kita dan juga pada orang lain. Hal lain yang aku nak cakap adalah, jadilah diri kita sendiri dalam berkawan serta janganlah kita berpura-pura dengan sikap sebenar kita nanti orang menyampah. Walaupun kita terikat dalam sesuatu perhubungan itu, janganlah kita mengongkong diri kita dan diri pasangan itu selagi semuanya duduk dalam batasan yang ditetapkan Allah.

Wallahualam...
p/s: kalau korang jumpa moral oh the story yang lain, mintak share.

Hidup Tak Selalu Indah


Hidup ini tak selalunya indah. Bukan setiap hari orang di sekeliling kita akan berusaha untuk membuat kita tersenyum. Ada masanya kita terpaksa mengukir senyuman itu bagi mengurangkan rasa gusar dan gundah yang sedang bergelora dalam jiwa kita. Aku tak terlepas dari semua rasa itu. Aku juga manusia yang akan sentiasa diturunkan dugaan bagi menguji kekuatan iman aku.

Bagi sesetengah orang kebahagiaan dalam diri mereka boleh datang kerana perkara-perkara yang sangat kecil dan mudah (simple). Boleh sahaja seorang ayah rasa gembira kerana anak kecilnya menghadiahkan lipatan origami dari kertas kumal yang tiada nilai pada mata orang lain atau sahaja bahagia seorang ibu mendengar ucapan terima kasih seorang anak sedang pada pendengaran orang lain ucapan itu hanyalah sesuatu yang biasa. Seorang anak kecil pula dengan mudah mengukir senyum tatkala disuakan dihadapan bibirnya sebiji gula-gula yang harganya kurang daripada 20 sen.

Aku berfikir...
Mengapa?
Mengapa semudah itu manusia sudah mampu rasa gembira dan bahagia?
Sedangkan diri aku terus bergelumang untuk mengejar sesuatu yang disebut kebahagiaan...
Dan aku merasa seolah-olah dunia ini tidak mahu aku menggapai bahagia itu pada saat ini selepas segala masalah yang bertimpa-timpa terpaksa aku hadapi.

Hidup aku ini sedang bermain dengan emosi dan pemikiran aku yang tak pernah berhenti. Indahnya hidup ini apabila manusia yang mengaku beriman dengan Rabbnya meletakkan kesyukuran dan kesabaran sebagai pasak kepada segala perkara yang ditimpakan kepada mereka. Mereka punya harapan dan impian yang besar namun mereka mensyukuri segala adanya kurniaan Ilahi.

Sedang aku?

Terus-terusan mencari kesalahan dan kelemahan sekeliling aku yang membuat aku rasa sebagai seorang gagal yang tidak berguna. Betapa aku ini tidak tinggi sabar dan syukurnya terhadap apa yang ditimpakan kepada aku. Benar kehidupan ini tidak selalu indah namun keindahan itu sebenarnya terletak kepada pemikiran kita. Jika aku mahu hidup ini sentiasa diharumi bunga-bunga bahagia aku sepatutnya lebih positif dan sentiasa berusaha menerima segala ketentuan Allah.

Kalian boleh sahaja katakan yang aku bodoh tatkala dan aku akan terimanya kerana aku memang seorang yang bodoh kerana tidak mengambil peluang besar di hadapan aku. Allah itu menyayangi hambaNya dengan pemberian dugaan yang tidak putus-putus supaya hamba tidak pernah lupa untuk beribadah, berusaha dan bertawakal kepadaNya.

Ya Allah jadikanlah dugaanMu ini anugerah terindah yang pernah aku miliki dan kuatkanlah hati ini di atas segala apa yang terjadi. Amin ya Rabbal Alamin...

Ahad, 25 September 2011

Sharing is caring, Caring is loving, Loving is hurt???

Assalamualikum Sahabat...

Hari ini aku nak bercerita. Cerita yang boleh tahan seronok untuk dikongsi rasanya. :)

Gila..

Itulah perkataan yang boleh aku berikan mengenai perjalanan hidup aku untuk minggu ini. Pelbagai perkara tak terduga dan karenah yang surprise aku jumpa untuk tempoh beberapa hari ini. Sampai masa aku hadapi takat didih kesabaran aku. Mujur masih ada ibu menemani aku dari jauh. Mujur ada kawan yang masih mahu mendengar resah hati.

Tapi...

Itu cerita beberapa hari lepas. Hari ini adalah hari yang penuh dengan warna. Bermula dengan kegilaan aku yang tak berhenti untuk meletakkan post-post baru dalam blog kesayangan ini dengan cerita yang berbagai ragam yang semestinya aku rasa mengundang tawa pembaca dan juga mungkin tangis daripada kalian (makluman, ini adalah post aku yang ke-3 untuk hari ini sahaja) . Pagi ini aku masak nasi goreng dan tengah hari balik ke rumah selepas habis kelas aku masak sayur pula. Dari pagi bawa ke malam aku hanya makan nasi goreng yang aku masak tu. Best betul walau cuma nasi goreng. Sekurang-kurangnya aku ada gak makan nasi goreng. Kau ada? Hahaha.. Gurau ok..

SEKARANG!!!

Aku nak cakap pasal sharing, caring and loving.

Sekarang aku duduk rumah sewa dan bukan lagi hostel. Makanya bayak benda yang kena berkongsi. Itu ini kena kongsi. Kenderaan kena kongsi, sudah senang kena kongsi, makan minum kena kongsi pendek dan panjang berkata, serba serbi dikongsi bersama la. Kata orang putih sharing is caring. Berkongsi itu tanda kita mengambil berat.

BETUL SANGAT LA TU!!!!

Berkongsi itu tanda mengambil berat. Segala apa yang aku ada dan mampu untuk kongsi aku kongsi dengan kawan rumah merangkap kawan kelas merangkap kawan satu kereta merangkap apa yang dapat dirangkapkan selebihnya. Aku ambil berat kawan-kawan aku ni hal makan terutamanya, jadi apa yang aku beli untuk memasak aku kira lebih kurang je. Tak da la nak mintak bayar cepat-cepat tiap kali lepas beli. Dah masak kitorang makan sama-sama pula. Best sangat. Siapa-siapa yang nak masak mesti tanya dulu nak masak apa dan kawan tu makan ke tidak. Kami tidak akan masak yang kami seorang saja nak makan kerana perkara itu tidak adil sebab beli barang pakai duit sama-sama. :)

Selain perkara berbentuk material, kami juga berkongsi rasa hati. Rasanya tiada lagi rahsia yang kami simpan satu sama lain demi menjaga keharmonian sesama kami supaya masing-masing memahami situasi satu sama lain. Malahan kami juga berkongsi kegilaan yang sama. Contohnya hari ini. Selepas kami tiga sekawan mengidam untuk minum air coconut shake kat pasar malam hari Selasa di kawasan Gong Badak, sebelah malamnya kami bertiga melayan cerita kat blog aku yang sangat mencuit hati + melibatkan kami bertiga dan seorang lagi kawan (sila rujuk post yang bertajuk sangka-menyangka, cerita itulah yang kitorang layan sambil gelak terbahak-bahak).

Cerita ini tak tamat lagi.

Semasa aku sedang menaip untuk menyiapkan artikel tersebut kami bertiga duduk di ruang tamu di atas sofa secara berderet-deret sambil masing menghadap laptop dan telefon bimbit masing-masing layan internet. Jarang nak tengok kami duduk macam tu. Tapi malam ini perkara ini terjadi sebab hujan yang boleh tahan lebat ditambah dengan guruh, kilat dan angin yang kuat. Selepas bergelak ketawa dengan post yang telah pun aku publish, datang idea gila kami yang teringin nak minum float. Jam dah pukul 9.30 malam. Aku dengan pantas mengarahkan dua lagi kawan aku untuk bersiap kerana kami akan menyerang pasaraya yang terletak hanya beberapa jengkal dari rumah kami (nak menyatakan punyalah dekat pasaraya tu) untuk membeli air root beer, ais krim dan juga kiub ais. :)

Gila...gila...

Masa tu kedai tu dah nak tutup kot... Kami ni boleh je pergi terjah demi memenuhi hajat hati yang sangat merapu itu. Hahahaha... Apa yang penting hajat tu tercapai dan kami pulang ke rumah bagi menikmati kegenbiraan yang menanti...

SERONOK SANGAT... GEMBIRA TAK TERHINGGA.. SAAT YANG AKAN DIKENANG SAMPAI BILA-BILA.

Mari kita bergerak kepada istilah seterusnya iaitu Caring is Loving.

Bila kita ambil berat tentang seseorang itu tandanya kita sayang orang tu kan. Kalau tak sayang kita takkan amik kisah hal orang tu. Sama la macam aku dengan kawan-kawan aku tu dengn aku. Kitorang sayang perhubungan ini dan kami ambil berat satu sama lain dan kongsi semua kerja. Tolong cuci baju masing-masing, tolong jemur dan siap lipat sekali ok. Kalau sepahkan bilik pun sama-sama jugak (hahaha....tak boleh buat jadi menantu macam ni). Alaa..benda mudah korang mesti faham kan.. Malas nak ulang panjang.

Sekarang ni aku tak sabar-sabar nak cerita tentang istilah baru yang aku dengar dari kakak aku.
LOVING IS HURT..
Betul ke menyayangi itu menyakitkan???
Aku rasa betul.
Bila orang yang kita sayang buat kita kecewa mesti rasa sakit. Lebih-lebih lagi perbuatan seorang anak kepada kedua orang tuanya. Banyak yang menyakitkan hati. Mak ayah berkorban macam-macam tapi anak tak hargai. Nak ucap terima kasih pun tak ini kan pula nak balas budi. Memang jauhlah.
Kepada kawan-kawan yang baca artikel ini ingat ok jangan jadi manusia yang merosakkan hati orang yang sayang kita. Sayang orang ni memang melukakan hati tapi kebiasaanya kita rela rasa kesakitan luka itu demi menjaga kasih kita pada orang itu. Cuma sampai satu tahap kita tak rasa lagi nak teruskan rasa rela tu. Maka kena la hati-hati dalam menyayangi orang ok (dah biasa kena sampai naik boring je aku rasa..hahaha)

Lepas ini aku tak nak lagi la guna istilah Loving is hurt aku nak tukar dengan istilah Loving is Giving. Menyayangi itu adalah memberi.

Memberi kasih kita kepada orang lain. Betul tak kawan-kawan??? :)

Aku teringat patah kata dalam filem adaptasi dari novel kesukaan aku Laskar Pelangi, "Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya dan bukan hidup menerima sebanyak-banyaknya". Suka sangat ayat ini dan ia sentiasa mengingatkan aku supaya jangan suka mengharapkan imbal balik tapi berilah selagi mampu kita memberi kesenangan kepada orang lain. Orang yang memudahkan kesulitan orang lain, Allah akan permudahkan kesulitan dirinya.

Cukuplah sampai sini dulu. Penat dah ni. Mengantuk pun ada juga. Semoga terhibur kawan...

Wassalam.

Kisah Hati

Assalamualaikum...

*Aku tak pasti bila aku mula menaip kisah ini. Aku Cuma perasan semula coretan ini masa aku cari dokumen lain dalam Microsoft word. Maka mungkin celaru sedikit cerita ni.

(Pada suatu hari yang aku gagal kenal pasti bila. Berkemungkinan semasa peperiksaan semester 4 tahun ke-2 )

Sesuatu yang memang tak sepatutnya aku lakukan dalam situasi aku sedang sibuk berperang dengan peperiksaan. Namun inilah satu semangat yang aku tak sangka aku akan rasa setelah lama aku dengan dia. Selama ini aku makan hati. Aku selalu rasa diri aku tak diendahkan lebih-lebih lagi selepas dia begitu sibuk dengan kerjayanya.

Hari ini tanpa aku harap dia luahkan semuanya. Perakuan yang lancar dari bibirnya tanpa langsung ada rasa paksaan atau bebanan seperti sebelum ini. Dia semakin bijak mengusik dan berjenaka. Ekspresi diri dia lebih dari sebelum ini.

Apa lagi yang boleh aku luahkan untuk menyatakan rasa hati ini. Terlalu bahagia aku rasa. Terharu...itu yang lebih aku rasa saat ini. Dia terlalu istimewa. Buah hati pengarang jantung. Dia lelaki yang ingin aku temukan dengan kedua ibu bapa ku. Orang yang tak pernah berbelah bahagi kasihnya untuk aku. “Berapa banyak pun perempuan yang cantik dan baik dari ayang yang abang jumpe, ayang tetap yang terbaik untuk abang. Ayang tetap yang paling abang cinta.” Ya Rabb kau tetapkanlah hati ku ini untuk terus menanti dia menjadi imam di hatiku....

(Artikel ni pula aku buat kesinambungan kepada memori yang di atas)

Dan bukan lagi sesuatu yang pelik kalau aku dan dia terus-terusan bertengkar kerana perkara yang sama secara berulang. Tak perlu tercengang jika dialog pergaduhan yang kami utarakan turut sama. Itulah kami sentiasa bergaduh hal yang sama. Mungkin jarak membuatkan kami kadang-kala kelihatan seperti pasangan yang tak sekufu. Bukan aku tak pernah mencuba mengenali hati budi yang lain namun jiwa aku telah lama terikat dengan jiwanya. Mungkinkah doa yang aku lantunkan kepada Allah tiap kali selesai lima waktu telah menunjukkan denai-denai yang patut aku lalui dengan hati yang besar.

Hidup ini selalu kena memilih. Salah satu pilihan terpenting dan terbesar dalam kehidupan ini adalah memilih pendamping kehidupan ini. Aku rasa aku dah buat pilihan yang aku rasakan tepat dan kemungkinan tiada lagi yang boleh menjadi pengganti dirinya (kalau kita tengah tangkap cintan bak kata orang sekarang, kentut pun bau wangi beb). Tapi pilihan ini aku yang rasa tepat bukan pilihan yang telah ditetapkan Allah untuk aku. Maka aku sebagai hambanya yang sangat kerdil perlu mengikut apa yang telah disarankan oleh Rasulullah (melakukan istikharah) lebih-lebih lagi dalam situasi ini terdapat beberapa pilihan lain yang buat aku rasa tak keruan untuk menyatakan rasa hati aku yang sebenarnya kerana aku takut kehilangan orang yang sentiasa bersama aku saat aku memerlukan seseorang meluahkan perasaan.

Rasanya sudah terlalu lama aku mementingkan diri demi kebahagiaan aku dan aku hanya memberikan kebahagiaan yang pura-pura kepada orang yang berharap kepada aku. Atau lebih tepatnya aku hanya membina satu impian palsu untuk orang yang benar-benar mengharapkan aku. Ya Allah..sekian lama baru aku sedar betapa kejamnya aku kepada hambaMu yang lain. Aku ini penindas. Hinanya aku kerana hanya petah mengeluarkan mutiara dari tutur kata aku tetapi mengeluarkan bias-bisa berduri dari segi laku aku pada yang lain. Aku dalam kelalain selama ini dan aku sudah tidak kuat lagi untuk terus menjadi hamba yang hanyut dalam kehendak hati yang tidak berpaksi kepada jalan Allah.

Apakah kata terbaik untuk aku habiskan kisah aku kali ini? Aku sendiri tidak tahu dan kalian pastinya lebih tidak mengerti apa yang paling sesuai untuk diungkapkan kerana semuanya samar-samar, sama seperti hati aku ketika ini. Hati ini terlalu kuat untuk memilih dia sebagai imam aku namun ada suara kecil yang masih menyuruh aku untuk membuka hati ini untuk yang lain dan terus memegang apa yang aku miliki tika ini dan melepaskan semua itu apabila aku dah punya jawapan sebenar. Cukuplah aku yang menanggung beban ini dan tak seharusnya aku mengikat orang lain demi rasa tidak selamat yang wujud dalam diri ini. Sahabat, janganlah kalian mementingkan diri kerana hanya rasa bersalah yang akan mengekori kamu selagi kamu hidup untuk menghela nafas.

Wassalam..

Jumaat, 23 September 2011

Tak tahu nak letak tajuk apa, yang pasti hati aku sedang berbunga.

Assalamualaikum

Sahabat sekalian, tiada lagi alasan untuk diri ini terus bermain-main dengan aturan masa depan. Apa yang aku aku lakukan kini bakal mempengaruhi masa depan ku. Rasanya terlalu banyak sudah doa-doaku yang dimakbulkan Allah. Aku rasa semuanya sudah dimakbulkan buat masa ini. Hati ini terlalu gembira dan berbunga. Batu Pahat memberikan aku satu pengalaman yang berharga. Sebuah keindahan itu hanya akan terbayar dan menjadi lebih tinggi harganya apabila kita terpaksa melalui dugaan-dugaan yang tak terduga.

Aku teringin untuk mencoretkan apakah bahagia yang sedang berbunga itu namun kawan, maaf yang aku hulurkan kerana terlalu sulit untuk diceritakan sebab bakal menjadi sesuatu yang sangat sensasi jika aku utarakan di sini dan mungkin jadi bualan yang hangat antara teman-teman rapat ku. Apa yang pasti penantian yang hampir memakan masa 3 tahun ini sangat-sangat berbaloi. Sepanjang 5 tahun ini hanya 4 kali perkara ni berlaku. Raya pun orang dapat rasa tiap-tiap tahun ok.
Hahahaha..

Kali pertama.

Itulah ayat yang boleh aku katakan. Dalam kehidupan ini pastinya kita akan ada pengalaman pertama untuk semua perkara (ada jugak pengalaman yang pertama dan terakhir macam bersunat..ke ada yang kena sunat dua kali..hihihi). Aku kali pertama jejak kaki kat bumi Batu Pahat. Agak ngeri (mungkin istilah ini agak berlebihan) pengalaman pertama aku ke Batu Pahat. Cuba korang bayangkan (aku harap tiada yang buat lawak bodoh memejamkan mata sambil mengerutkan dahi berusaha bersungguh-sungguh untuk membayangkan situasi cerita aku). Aku ni punyalah teruja nak pergi sana tapi saat dan ketika itulah boleh pulak bas datang lambat. Kenapa bas itu tak datang lambat malam sebelumnya ke atau pun hari-hari lain yang bukan hari aku nak naik bas balik Batu Pahat. Aku dah lebih dari kecewa apabila bas yang aku harap-harapkan tak kunjung tiba. Sahabat aku yang aku nak ikut balik rumah dia tu pergilah kat kaunter tiket tanya bila bas nak sampai orang tu cuma jawab bas lambat dan akan buat pengumuman bila bas tu dah sampai... Aku dalam kepala dah terbayang kalau aku pergi beli burger McDonald pun sempat lagi tadi.

Huh!!! (dalam nada tak puas hati)
Selepas hati aku ni nyaris-nyaris nak rentung baru la ada pengumuman yang beritahu kami kena naik bas yang sama menuju ke arah Seremban dan perlu tukar bas bila sampai di Muadzam Shah. Nak buat macam mana...dah nasib badan aku terima je la kan. Sambil mulut aku tak habis membebel sekiranya aku tak dapat apa yang aku nak kat Batu Pahat nanti seorang hamba Allah tu memang kena bersiap sedialah menerima pembalasan daripada aku.(Dah boleh jadi hakim dah aku sebab pandai jatuhkan hukum kat orang dah..hihihi)Hal ini disebabkan aku dah usahakan yang terbaik untuk dia dan kalau dia tak pandai nak ambil peluang ini dia memang aku kategorikan sebagai bodoh (istilah ini memang tak baik untuk kita gunakan dalam apa jua keadaan tapi hati gua tengah panas masa ni beb sebab tu terkeluar jugak).

Oh, lupa lak..
Kita patah balik masa sebelum aku sampai di stesen bas.
Lokasi : Rumah Sewa
Masa : Petang
Aku macam orang gila selongkar semua beg pakaian yang aku ada. Aku dah tak pandai nak packing pakaian untuk bermalam selama 2 malam. Aku tak tahu berapa banyak baju aku nak bawa (termasuk la pakaian dalam tau tak..it so horrible) Cuti 4 bulan ni telah melemahkan kemahiran yang baru je aku dapat masa belajar kat Terengganu ni. Huhuhu..sedihnya. Lepas aku duk keluarkan pakaian dari satu beg dan masukkan pula ke dalam beg lain akhirnya aku berjaya juga menyiapkan beg pakaian aku tu (hahaha..bangga seh... kalau aku tak berjaya tak la aku sampai Batu Pahat kan)
Sepanjang masa aku nak menyiapkan beg tu sahabat aku Afaf terpaksa la menahan sabar dengan perangai aku yang dah serupa orang hilang laki. Asyik menjerit je sebab terlalu stress (aku bakal mendapat darah tinggi sebab hal remeh temeh macam ni pun mampu men'stress'kan aku). Apa pun yang terjadi masa itu tak penting lagi sebab aku dah selamat pergi dan balik pun dari Batu Pahat.
Apa yang lebih hebat adalah kami memandu kereta berdua pulang ke Kuala Terengganu (tak lah hebat mana sebab aku cuma take over driving duty masa dah sampai kat Kuala Ibai..hihihi). Hal itu tak penting sangat. Apa yang penting adalah apa yang aku dapat kat bumi Johor. Terima Kasih kat teman-teman yang aku tahu tak putus doakan supaya hajat aku termakbul demi tengok aku ceria dan siuman seperti selalu (tolonglah sahabat bagi tahu aku satu saat yang aku ni sebenarnya siuman).
Rasanya cerita ni tak la best sangat macam selalu kan. Tapi aku akan upgrade lagi skill aku ni supaya cerita lepas ni lebih hebat dari kebiasaannya. I really hope that all of you can enjoy this story and share this beautiful moment together with me, a silly person with lots of dreams.

Rasanya sampai sini dulu. Ok aku tak nak korang baca artikel ini untuk buang masa saja. Aku nak cakap hidup ni menjadi indah kerana liku-liku yang terpaksa kita telusuri masa kita kuat untuk hadapinya dan masa kita lemah bersemuka dengannya. Percayalah setiap kesusahan yang kita lalui itu pastinya akan Allah akhiri dengan keindahan yang tak terjangka oleh akal fikiran kita yang terhad ini. Hadapilah semua rintangan di depan kamu sahabat dengan hati yang kuat berpegang pada tali Rabb mu. Percayalah selepas setiap kesusahan yang kalian lalui itu hanya satu yang akan muncul di bibir kalian iaitu satu senyuman tanda kepuasan dan kegembiraan.

Wassalam