Sabtu, 23 Februari 2013

Lelaki

Lelaki
Luarnya nampak mudah
Santai
Bagai endah tak endah

Tapi perempuan
Sedarkah kau hati mereka bergelora
Fikirnya sarat dan beban
Dengan tanggungjawabnya sebagai wali dan imam

Lelaki 
Luarnya nampak tangkas dan gagah
Berani walau apa yang mendatang
Bagai tiada yang mampu jadi batas sempadan

Tapi perempuan
Terlintaskah...
Dia masih punya hati dan perasaan yang Allah kurniakan
Miliki naluri yang ada masa tetap goyah dihempas badai
Juga wujud ketakutan yang tak bertepi
Kerna akhirat kelak 
Kunci wali dan imam yang dipegang
Akan dipersoalkan


P/s: untuk semua lelaki yang pernah hadir dalam hidup saya.
  • Teristimewa untuk ayah
  • Untuk saudara kandung lelakiku
  • Untuk kawan-kawan lelaki
  • Untuk kekasih
  • Untuk bekas kekasih
  • Untuk bekas kekasih tak jadi
  • Untuk semua yang bergelar lelaki 



Jumaat, 22 Februari 2013

Lama-lama nanti, biasalah!

Assalamualaikum.

Alhamdulillah dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk bercerita.

Hari ini aku teringat sebuah cerpen daripada penulis yang menjadi kegemaran aku. Aku sering memastikan diri ini untuk sentiasa update dengan karya-karya terbaru daripada beliau selepas Andrea Hirata iaitu Bahruddin Bekri. 

Penulisannya aku kira tidak la puitis namun perbandingan yang sering diberikan dalam karya beliau bagiku sangat mudah difahami kerana menggunakan perkara-perkara yang hanya berlegar sekeliling kita dan makna tersirat dalam setiap patah kata juga mudah kita cerna dan tidak perlu membuka buku-buku pujangga klasik aku kira.

Lebih kurang 2 bulan lepas, pada masa itu arwah ayah ku masih ada. Aku membaca sebuah cerpen karya Tuan Baha. Aku menangis. Halnya kerana aku masih terkenangkan kekasih lama dan aku rasa sangat sukar untuk menempuhi hidup ini tanpa dia. Alasannya selama tujuh tahun kami bersama, semua cerita seharian aku akan aku ceritakan padanya. Suka, sedih dan gembira mahupun marah semua aku luahkan padanya. Rasa ketidakbiasaan aku selepas kami berpisah menyebabkan aku sering tidak selesa dan resah. Cerpen yang aku baca ini tajuknya "Dik, lama-lama nanti, biasalah". (klik untuk baca)

Bila aku baca, aku mula didik hati aku.

"Solehah, lama-lama nanti biasalah!"

Ringkas aku cerita cerpen ini mengenai seorang wanita yang dinikahi oleh seorang lelaki pilihan keluarga dan bukan yang dicintainya. Si suami acapkali mengungkapkan kata-kata, "Dik, lama-lama nanti, biasalah", untuk menenangkan Si isterinya dan juga itu cara dia memujuk. 

Ye. Perpisahan pada mulanya memang merimaskan. Pastinya kita takkan biasa. Itu juga yang aku rasa. Namun selepas membaca cerpen ini aku mula faham bahawa rasa itu takkan sembuh dengan cepat. Ada masanya perasaan yang kita alami itu hanya akan terubat dengan beredarnya masa. Memang benar mendekatkan diri dengan Allah itulah yang terbaik namun ia tidak akan sembuh sepenuhnya dengan sekelip mata. Sakit itu akan ada kerana ingatan itu masih kuat. 

Hari ini jika diminta untuk membaca kembali cerpen ini nescaya aku sudah tidak mampu lagi kerana rasa itu telah beralih kepada ayah. 

MASIH TAK BIASA!

Namun aku kuatkan hati. Lama-lama nanti biasalah!

Terima Kasih kepada yang sering bertanyakan keadaan saya. Yang prihatin dan melihat dari jauh dan merisik keadaan saya dari rakan-rakan terdekat. Saya tahu jika ada sesuatu yang anda mampu lakukan pasti anda akan buat untuk saya, untuk lihat saya seperti dahulu sentiasa bersemangat dalam apa jua yang saya lakukan walau saya tak bagus dan tak mahir.

Hanya masa yang akan mengubati rasa ini. Allah lebih mengerti.

Doakan sahaja yag terbaik untuk saya.

Khas untuk penyelia saya... 

TERIMA KASIH KERANA MENJADI PENYELIA, GURU, KAWAN, ABANG DAN ADA MASANYA AYAH KEPADA SAYA.

Wassalam.

Sabtu, 2 Februari 2013

Selepas Pemergianmu.

Tanggal 9 Januari 2013 bukan satu tarikh yang menggembirakan buat kami sekeluarga. Kehilangan orang yang paling penting dalam hidup kami merupakan sebuah cabaran yang sangat hebat. satu tamparan paling kuat yang aku rasa selepas kehilangan kakak pada 2 tahun sebelum ini dan satu-satunya atuk yang pernah ada dalam tempoh 4 bulan lepas. Insan-insan yang kami sayang, yang pergi dalam situasi berbeza.

Suami kepada emak yang tercinta. Ayah kepada 8 orang cahaya mata. Itulah orang yang pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya.

AYAH!

Perginya tanpa tanda mahupun sekelumit pesan. Hanya sebuah pesanan ringkas untuk aku semasa ulang tahun kelahiran aku yang ke-24 tahun.  
Semoga ditingkatkan iman aku. Itu doa ayah. 
Semoga aku sabar. Itu pesan ayah. 
Mencoretkan kisah ayah pada masa beliau sudah tiada di alam fana ini bukan sesuatu yang mudah bagi aku. Tambahan aku juga layak digelar ratu air mata, aku mengambil masa yang lama untuk terus bercerita di sini.

Khabar sedih dan mengejutkan ini aku terima ketika sedang berjuang untuk kertas terakhir aku bagi peperiksaan akhir semester 7. Hanya sejam sebelum itu aku terima berita itu. Jika satu masa dulu aku rasa aku takkan mampu untuk menjalani peperiksaan dalam situasi seperti ini namun aku diberi kekuatan untuk melakukannya. Namun selesai menjawab kertas peperiksaan, aku memang tak kuat lagi untuk menahan air mata. Benteng pertahanan aku yang terakhir runtuh dan air mata aku berhamburan keluar. Aku tahu aku takkan sempat tengok jenazah. Aku takkan sempat melihat sekujur tubuh ayah yang tidak lagi bernyawa untuk kali terakhir. TIDAK AKAN SEMPAT DAN PELUANG ITU SUDAH TIADA.

Dua minggu sebelum itu aku, emak, Shahir dan ayah sempat bercuti ke Pulau Aman, Pulau Pinang. Mungkin itu cuti terbaik untuk ayah. Cuti  terakhir ayah di sini sebelum pergi menghadap Ilahi. Kami lepaskan ayah menghabiskan masa bersama Pak Ngah, abang kepada ayah. Berbual, berjalan-jalan sekitar pulau dan bersama-sama ke surau menunaikan 5 waktu. Itu aktiviti mereka berdua. Setiap kali masa makan, ayah makan dengan penuh berselera dan kami tak halang apa pun yang ayah nak. Percutian yang biasa pada masa itu aku rasakan tetapi menjadi luar biasa apabila ayah tiada lagi.

2 minggu sebelum ayah pergi, ayah sempat berkumpul bersama semua anak-anaknya termasuklah menantu beliau. Masa yang sangat membahagiakan. Berkongsi cerita, bergurau senda dan mengenang kisah-kisah lama keluarga kami. Perkara yang biasa tapi masih sangat menyenangkan untuk keluarga kami.

Hari ini sudah lebih 3 minggu. Perginya ayah bukan sahaja dirasai oleh kami sekeluarga tetapi juga orang-orang yang pernah mengenali. Kami sangkakan mungkin kami adalah orang yang paling terasa dengan ketiadaan ayah. Sebaliknya ada yang lebih sedih dengan perginya ayah tanpa pesan. Dalam diam banyak hati yangtelah diusik oleh ayah. Banyak kehidupan orang yang ayah bahagiakan. Kami semua tak mampu untuk coretkan kisah itu. Minggu pertama pemergian ayah rumah kami tak pernah lengang daripada kunjungan sahabat handai ayah. Tak kira kawandari zaman kanak-kanak ayah sehingga la kawan-kawan di hari tuanya.

Menjejakkan kaki ke pasar pada hari ini bukan lagi perkara yang mudah untuk aku. Tempat itu adalah lokasi kegemaran aku dan ayah. Sehingga ke hari ini masih ada lagi kawan-kawan yang ayah hanya kenal di pasar dan bertegur mesra di sana masih tidak percaya yang ayah sudah tiada. Ada yang pesan supaya aku tabah, ada yang hampir dan menepuk lembut bahu aku. Ahhh...apa lagi yang mampu aku ungkapkan. Ayah terlalu baik dengan orang. Ramai sayang ayah sehingga ada satu saat kebaikan ayah dengan ramai orang menjadi sesuatu yang menjengkelkan dan menyakitkan bagi orang yang punya pertalian darah dengan kami.

Luka hati ini masih belum sembuh bukan kerana aku kehilangan ayah tetapi kerana perlakuan sebilangan kecil manusia terhadap arwah sepanjang hidupnya. Hati ini masih sakit melihat kurangnya simpati yang disalurkan kepada emak.

Terlalu banyak perkara yang menindas kami namun tak pernah ayah ajarkan kami tentang dendam. Jauh sekali membalas perbuatan mereka dengan sesuatu yang lebih dahsyat. Kata ayah kita ini manusia, orang lain juga manusia dan makhluk ciptaan Allah. Kita semua ada lemahnya, ada jahilnya. Maka jangan cuba menjadi Tuhan dengan menetapkan hukuman ke atas orang lain. Allah akan balas. Kita berdoalah, ringankan hati dan lidah setiap hari untuk sedekahkan bacaan al-Fatihah kepada sesiapa sahaja yang menyakitkan hati kita.

Hati ini lebih sayu bila kawan-kawan ayah yang bukan beragama Islam juga menitiskan air mata bila kami khabarkan berita ini. Aku tak tahu apa bakti ayah kepada mereka tapi yang pastinya mereka juga tersentak. 2 minggu selepas ayah meninggal seorang bekas pelajar SMK Sungai Kertas hantar sms ke nombor telefon ayah untuk mintak tolong ayah jadi coach bagi team bola sepak dia. Berat hati aku nak bagi tau yang ayah dah tak ada. Percayanya budak tu dengan ayah sampai bersungguh mintak tolong, walaupun tak mampu nak bayar ayah untuk upah tapi katanya akan diusahakan bayaran untuk ayah tapi tak banyak..

Apa lagi yang aku boleh cakap. Ayah dah tak ada. Cuma kenangan yang ada bersama kami.

KHAS UNTUK ADIK-ADIK SUTAS SOCCER.

TERIMA KASIH KERANA MENJAD ANAK-ANAK YANG BAK SEPANJANG MENGENALI PAK DIN. APA SAHAJA YANG KAMU LAKUKAN BENAR-BENAR MEMBERI KENANGAN YANG BAHAGIA UNTUK PAK DIN.

PAK DIN SAYANG KAMU SEMUA SEPERTI ANAK PAK DIN SENDIRI. KAK LEHA SANGAT BERHARAP YANG KAMU SEMUA TERUSKAN PERJUANGAN KAMU SAMA ADA DALAM PELAJARAN ATAU SUKAN DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH. SEMUA NASIHAT DAN ILMU YANG PAKDIN BERIKAN KEPADA KAMU GUNAKANLAH SEBAIK-BAIKNYA DAN SAMPAIKAN DAN KONGSI ILMU ITU DENGAN ORANG LAIN.

JIKA KAMU SAYANG PAK DIN, INGATLAH APA SAHAJA ILMU BAIK YANG PERNAH PAK DIN BERIKAN KEPADA KAMU ITU AKAN BANTU PAK DIN DI SANA. SELAGI MANA KAMU AMALKAN DAN KEMUDIAN KAMU KONGSIKAN KEPADA ORANG LAIN SELAGI ITU PAHALA DAN KEBAIKAN ITU KAMU BERIKAN KEPADA ARWAH DI SANA.

PAK DIN MEMANG TIADA LAGI BERSAMA KITA SEMUA TAPI INGAT SEMANGAT ARWAH ITU AKAN SELALU DENGAN KITA.

TERUSKAN USAHA KAMU SEMUA DAN SESIAPA SAHAJA YANG AKAN MENGAJAR KAMU SELEPAS INI, HORMAT DAN KASIHI MEREKA SEBAGAIMANA KAMU HORMAT DAN SAYANG KEPADA PAK DIN. KEJAYAAN KAMU BUKAN BERGANTUNG KEPADA SIAPA YANG MENGAJAR KAMU TAPI ATAS USAHA KAMU DAN KEBERKATAN YANG KAMU DAPAT DARIPADA GURU KAMU.

TERIMA KASIH ADIK-ADIK SUTAS KERANA KAMU ADALAH PERKARA TERBAIK YANG PAK DIN PERNAH ADA.


Wassalam




AL-FATIHAH
28 FEBRUARI 1954 - 09 JANUARI 2013
ALLAHYARHAM SAHARUDIN BIN PARMIN