Khamis, 21 Julai 2011

Cerita Aku dengan Buku, Langkah dan Atas Talian

Assalamualaikum

Rindu..
Itu yang aku rasa tatkala melihat komputer riba aku. Ada masa hati terlalu ingin untuk mencoretkan warna-warni kehidupan aku dalam blog yang aku bangunkan untuk mengasah kemahiran aku dalam penulisan ini. Namun sering kali rasa minat itu mati secara tiba-tiba apabila jari-jemari ini mula menari lincah di permukaan papan kekunci komputer riba ini. Fikiran aku menerawang kepada masalah seharian yang masih belum dapat aku laksanakan dengan sebaik-baiknya. Buat masa ini kecintaan aku terhadap buku mula berputik semula semenjak aku belajar untuk membeli-belah secara atas talian.
Wah, satu kemajuan yang besar Solehah!
Mungkin akan ada yang cakap aku kuno tapi aku nak cakap sikit pada orang yang cakap macam tu pada aku, "Ada aku kisah?".
Setiap manusia mengambil langkah mereka yang tersendiri. Ada yang melangkah kecil ada yang mengambil langkah besar. Ada yang merangkak, berjalan dan ada juga yang telah berlari. Apa yang aku nak cakap ini bukanlah mengenai bagaimana bentuk langkah dan keluasan langkah yang diambil sebaliknya aku nak simpulkan bahawa setiap langkah yang diambil oleh semua makhluk di muka bumi ini tidak sama. Ada yang cepat ada yang lambat langkahnya. Namun semua itu tidak penting. Apa yang lebih penting adalah sama ada kita cuba untuk melangkah atau tetap pada posisi yang sama.

Tolong jangan buat lawak kurang pintar dengan saya dengan mengatakan bahawa setiap hari anda mengambil langkah (makna sebenar berjalan). Walaupun saya suka bergurau dalam penulisan saya tetapi tolong ambil serius apabila saya serius ok. (Bersungguh-sungguh je aku ni seolah-olah betul orang yang sedang membaca ni cuba loyar buruk).
Baru aku perasan, sebenarnya aku nak cakap pasal minat membaca aku yang kembali menguasai diri ini. Aku baru lepas menguap dan bersin dan aku rasa seolah-olah idea aku terbang. Tapi tak mengapa sahabat. Aku akan usahakan untuk menghabiskan artikel kali ini dengan penuh bergaya selain meninggalkan satu kenangan manis pada kalian sehingga menjadi sebutan dan meniti di bibir kalian untuk beberapa hari ini.
Hihihi...
Aku menulis untuk berkongsi emosi dan bukan sekadar cerita. Kata orang cerita yang baik adalah cerita yang ada emosi. Ada yang menulis tetapi cerita itu tiada emosi menyebabkan kisah itu hambar. Hal itu bukanlah penting bagi aku apa yang penting aku nak sambung balik cerita aku.
Baiklah secara serius, saya harap saya tidak akan lagi menyimpang dari cerita asal ( inilah masalahnya apabila kita buat artikel tanpa rangka cerita yang kukuh kerana kita mudah untuk hilang fokus dan bercerita tentang perkara lain).

TOPIK UTAMA: MINAT MEMBACA KEMBALI DAN LANGKAH YANG DIAMBIL.

Semenjak cuti semester ni susah betul aku nak membaca. Jadual aku kelam kabut dan tidak terurus. Apa yang boleh aku katakan adalah aku banyak buang masa dan duit. Sedangkan sebelum ini aku sentiasa ada masa untuk urusan aku yang berbagai. Hal ini mungkin disebabkan aku semakin tidak ikhlas dalam bekerja. Bukan lagi Lillahi Taala. Maka aku rasa tak tenang dan masa itu seakan tak sampai 24 jam untuk aku. Akhirnya aku cari jalan supaya aku boleh atur semula kepincangan yang aku cipta dalam hidup aku. Perkara pertama yang aku lakukan adalah aku cari perkara yang aku paling cinta dalam hidup aku. Perkara tersebut adalah BUKU (tolong jangan pertikaikan sepatutnya Allah, Rasul dan ibu bapa yang menjadi kecintaan aku kerana ini adalah hal yg berbeza, harap mengerti).
Pada mulanya aku kumpul semua buku yang belum aku baca. Kemudian aku pilih yang mana hati aku berkenan. Masalahnya buku-buku yang ada tu semuanya membawa topik yang berat dan memerlukan otak aku mencerna setiap maklumat dengan baik. Dengan situasi tempat kerja aku yang menyukarkan aku fokus pada pembacaan yang serius maka aku perlu bahan bacaan yang santai dan satu-satunya cara yang ada adalah beli buku baru.
Hihihihihi..
Tambahan pula aku mengidam buku-buku karya terbaru Bahruddin Bekri. Karya beliau ini setakat yang aku tengok agak sukar untuk jumpa kat kedai buku yang besar-besar ni. Kalau jumpa memang nasib badan la. Biasanya aku jumpa kat kedai buku yang tidak glamor dan besar yang biasa ada kat dalam shopping mall yang besar-besar. Buku pertama karya beliau yang aku beli adalah Diari Mat Despatch di kedai buku Book Garden UniSZA (tempat belajar aku). Masa tu aku beli sebab tertarik dengan tajuk dan design kulit buku tersebut. Alasan lain ketika itu adalah aku ada masalah ketagihan membeli buku setiap kali menjejakkan kaki ke kedai buku. Saat itu pula duit tengah kering dan buku tu je yang mampu aku miliki kerana harganya yang tak sampai RM10. Kenapa??? Tak percaya ke? Jangan terkejut kerana memang itulah harganya. Setakat ini buku ini dah ada 3 siri dan semua aku dah beli dan sekarang dalam misi menghabiskan siri yang ke-3. Novel yang pertama Diari Mat Despatch, ke-2: Diari Mat Despatch : Lelaki Baik dan Diari Mat Despatch : Hati Emak. Buku karya beliau diterbitkan oleh PTS ONE SDN.BHD. Boleh intai-intai karya lain beliau dan penulis lain di www.pts.com.my atau www.ptsone.com.my Ok, cukup itu dulu. Ulasan buku aku akan buat kemudian ok.

Fokus balik kepada cerita buku dan langkah yang aku ambil.
Buku pertama yang aku beli secara atas talian adalah karya penulis yang sama dengan tajuk Lelaki Berkasut Merah. Aku beli buku ini kerana tertarik dengan quote yang ada pada kulit buku yang tertulis 'Tuhan bekerja dalam rahsia'. Selesai baca buku ini aku mula membaca koleksi-koleksi terpendam buku-buku aku yang sedia ada. Apabila aku melakukan perkara yang membuatkan aku gembira dan seronok aku mula berusaha menyempurnakan hidup aku. Aku mulakan rutin kegemaran aku yang seterusnya iaitu menguruskan koleksi pakaian aku yang terabai. Sekarang aku cuti 2 hari untuk kemas barang-barang aku dalam bilik. Seronok betul bila aku ada masa untuk diri sendiri. Aku ambil langkah yang besar dengan cuti (bermakna aku melepaskan 2 hari gaji aku) untuk aku memotivasikan diri aku bahawa hidup ini buka berkisar tentang wang dan harta semata-mata. Apa yang aku nak capai adalah kebaikan dan keberkatan dalam hidup. Ketiadaan masa untuk aku selalu keluar untuk mencari bahan bacaan yang aku suka mengajar aku untuk lebih mesra dengan teknologi. Fitrahnya aku lebih suka keluar dan cari sendiri buku sambil tengok apa terbitan terbaru yang menarik namun semua tu memakan masa dan tenaga maka aku ambil keputusan untuk buat atas talian dan aku sangat gembira (atau lebih dikategorikan sebagai bangga). Tak sangka akhirnya aku ada juga belajar sesuatu yang baru sepanjang aku cuti ini.
Sedarkah kita setiap kali kita mengambil langkah, kita sebenarnya mengambil risiko? Kenapa aku cakap kita mengambil risiko adalah kerana langkah kita mungkin saja menyimpang atau kita mungkin jatuh dan sebagainya kerana itu aku kata langkah kita adalah risiko kita. Maka setiap langkah yang diambil itu memerlukan penilaian yang tinggi supaya kita boleh mengurangkan risiko.

Rasanya cukup sampai sini dulu. Kesimpulan cerita aku,buku,belian atas talian dan langkah serta risiko ini adalah bila kita nak perbaiki sesuatu mulakan dengan sesuatu yang kita suka dan sesuatu yang kita pasti dapat selesaikan dengan baik kerana perkara tersebut akan menjadi motivasi kepada kita untuk terus menyudahkan semua permasalahan yang kita ada dan ia juga cara mengurangkan risiko kita kecewa dan mengalah. Selain itu, jangan takut mencuba sesuatu yang baru dalam tindakan kita seperti aku yang memberanikan diri beli buku atas talian. Hihihi..

Jaga diri baik-baik dan semoga berjumpa di lain waktu wahai sahabat sekalian.

Wassalam.