Bismillahirrahmanirrahim.
Pada Jumaat yang lalu bertarikh 28 september 2012, datuk saya iaitu ayah kepada bonda saya telah kembali ke rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
Al-Fatihah...
Saya bukan cucu yang rapat dengan arwah tapi masih ada kenangan indah yang mampu saya kenang berkaitan arwah. Semenjak dari kecil dan daripada cerita ayah dan emak, arwah memang pemurah dan suka memberi. Jika datang bertandang ke rumah atuk ada saja yang ingin diberi sama ada duit sekupang dua atau makanan. Paling tidak atuk akan suruh ke dapur dan makan. Jangan buat tak acuh bila disuruh makan, pasti dia suruh berulang kali. Selagi jawapan yang diberi tidak memberi nilaian positif selagi itu arwah tidak akan puas hati.
Ada masanya tidak ada nasi dan lauk-pauk pun di dapur. Yang ada hanya roti kosong atau pun biskut kering. Itu pun disuruh juga ke dapur makan apa yang ada. Memberi sekadar apa yang ada. Tak perlu bermewah-mewah. Apa yang lebih penting adalah keikhlasan dalam memberi kepada orang lain.
Semenjak nenek yang saya panggil 'Wan' mula kurang sihat iaitu mengalami lemah jantung, maka adik-beradik emak sepakat untuk membuat jadual tugasan bergilir menjaga kedua-dua ibubapa mereka. Bagi keluarga saya, tanggungjawab itu kami laksanakan secara bersama kerana semua cucu-cucu atuk sudah besar dan sudah boleh diamanahkan dengan tanggungjawab. Bila tiba giliran emak sama ada aku atau adik-adik yang akan pergi tidur di rumah mereka kerana hanya kami sahaja yang punya masa lapang (masih belum bekerja). Ada masa aku akan pergi bersama emak. Walau ada masa rasa lelah tapi saya seronok. Bukan sahaja dapat berbakti kepada atuk dan wan tapi juga dapat meluangkan lebih masa dengan emak.
Hanya selepas atuk benar-benar uzur tidak mampu lagi bergerak sendiri maka tugas menjaga atuk diambil alih sepenuhnya oleh adik lelaki saya, Shahir yang kami panggil Ayen atau Andak dan sekali-sekala dibantu oleh adik bongsu kami, Shamil. Atuk dah tak boleh nak bergerak. Isu-isu kebersihan, makan dan pakai sepenuhnya memerlukan bantuan orang lain. Maka sememangnya memerlukan tenaga yang kuat. Bila tiba giliran emak, adik-adik yang akan ke rumah atuk dan melakukan kerja-kerja yang patut seperti menukar lampin, membersihkan luka pada badan atuk dan sebagainya. Emak akan masak untuk hantar makanan ke rumah atuk dan wan. Jika aku bercuti maka aku atau kakak aku yang akan masak. Adik-adik emak yang lain iaitu pak cik-pak cik aku juga tidak pernah gagal dengan tanggungjawab masing. Toleransi dan komitmen yang tinggi diberikan semua orang supaya atuk dapat penjagaan yang terbaik daripada kami semua baik anak-anak mahupun cucu-cucu atuk.
Sebelum arwah pergi, Shahir cerita atuk minta dibawa ke masjid pada hari Jumaat sebab arwah nak solat Jumaat. Katanya dia dah rasa sihat dan ada upaya nak ke masjid. Adik aku mengiyakan dan berjanji akan bawa atuk. Allah maha mengetahui. Siapa sangka itu petanda atuk nak pergi. Shahir tunaikan hajat atuk. Shahir mandikan atuk, siapkan atuk ke masjid. Cuma bukan untuk menunaikan solat Jumaat, sebaliknya untuk atuk disolatkan oleh jemaah. Atuk nak pergi solat Jumaat dan atuk dapat pergi. Shahir tak menangis sebab itu janji dia. Dia puas dapat berbakti pada atuk. Dia relakan atuk pergi selepas sekian lama atuk uzur.
Dua hari lepas arwah pergi, saya ke pasar dengan ayah. Jumpa sahabat-sahabat atuk. Ramai yang terkilan sebab tak dapat kebumikan arwah ada juga seakan marah kepada ayah kerana tak beritahu atuk dikebumikan di kampung. Kata pak cik-pak cik permintaan atuk hendak dikebumikan di Kampung Jenderam Hilir. Rata-rata yang kami jumpa memuji sikap atuk jika di surau atau masjid. Jika bertakbir, bertasbih atau berselawat suara atuk paling kuat. Semua orang ingat itu. Semua orang ingat SUARA ATUK!
Mungkin itu kenangan yang masih kuat berkaitan atuk. Jika abang saya, pasti lebih banyak kerana dia cucu kesayangan atuk. Terima kasih kepada semua sahabat yang sama-sama mendoakan atuk saya. Saya cuba untuk tidak menitiskan air mata bercerita kali ini tapi hati saya tak sekuat itu. Saya tidak menangis bila pulang ke Kuala Lumpur bagi majlis tahlil tapi saya hanya menangis sebaik pulang semula ke Terengganu. Terkilan kerana saya tidak berjumpa arwah dulu sebelum naik semester kali ini sedangkan itu amalan saya setiap kali akan balik ke kampus. Walaupun Shahir mengajak saya ke rumah atuk berjumpa atuk. Terkenang gurauan Shahir, "Achik tak nak ikut pergi rumah atuk ke? Mana tahu atuk bagi duit lagi."
Sudah besar panjang, umur 23 tahun atuk masih bagi duit beli gula-gula. Dua tiga ringgit memang tak besar mana tapi besarnya keikhlasan hati arwah Allah sahaja yang tahu.
Wassalam.
Gambar terakhir aku dan arwah atuk semasa persandingan Abang.
Siapa sangka sikap berkeras ayah untuk bawa atuk dan wan jauh ke Sungai Besar bagi pernikahan dan persandingan Abang dan Kak Aini ada hikmah. Syukur atuk dipanjangkan umur lihat cucu kesayangannya berumah tangga.
Al-Fatihah, sama-samalah kita berdoa agar roh orang semulia beliau di dunia akan dicucuri rahmat. Kita sekeluarga sama merasakannya.
BalasPadam