Assalamualaikum
Post kali ni aku mulakan dengan Sabda Nabi junjungan kita, Muhammad S.A.W:
"Ballighu 'anni walau ayah"
Maksudnya : Sampaikan daripadaku walau satu ayat.
Para sahabat ketika itu yang mendengarkan kata-kata Rasulullah ketika itu terus bertebaran diatas muka bumi Allah sama ada melalui jalan darat atau laut untuk menyampaikan seruan tauhid kepada Allah SWT. Namun, dewasa ini yang dapat kita lihat penyebaran dan pengembangan ilmu agama ini hanya dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu sahaja (ustaz, ustazah, pak kiai, pendakwah dan sebagainya). Seolah-olah tenggungjawab ini hanya diperturunkan kepada mereka sahaja. Sedangkan jika kita rujuk kembali kepada hadis Baginda ini, Rasulullah tidak menyebut atau merujuk kepada golongan yang khas mengenai siapa yang lebih berhak dan afdal untuk menyampaikan risalah yang dibawa Baginda. Maka, kita perlulah sedar bahawa sekecil-kecil ilmu yang diperturunkan oleh Muhammad S.A.W hendaklah disampaikan kepada umat manusia.
Tetapi bagaimana ingin disampaikan? Sedangkan ilmu di dada tidak begitu mendalam. Maka dengan itu sampaikanlah apa yang kamu ketahui itu seadanya, tidak lebih dan tidak pula kurang. Hal ini penting supaya apa yang disampaikan itu tidak membawa kepada kesesatan. Allah telah melantik manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berusaha mempertingkatkan daya usaha dalam mengejar ilmu Allah yang cukup luas. Bahkan, Baginda juga pernah bersabda yang bermaksud :
"Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China".
Hadis ini menyuruh umat Baginda berusaha mencari ilmu hatta terpaksa mengembara sehingga ke benua negara yang lain. Kita hendaklah sentiasa berlapang dada dan terbuka dalam menerima nasihat, kritikan dan pendapat orang lain. Bayangkan sekiranya kita bersikap tertutup ibarat sebuah gelas yang di terlangkupkan. Apabila dituang air keatasnya tidak setitis pun yang mampu ditakunginya malahan melimpah dan membasahi sekelilingnya. Tetapi jika kita bersikap terbuka ibaratnya sebuah gelas yang mulutnya terbuka dan bila dituang air akan ditakung sebanyaknya yang mampu ia takungi. Begitu juga manusia, bila ilmunya banyak dan disebarkan kepada yang lain maka manfaatnya akan diterima ramai. Jika disimpan hanya untuk dirinya sendiri maka ilmu itu akan sia-sia dan terkubur bersama jasad insan itu apabila dia mati dan dikebumikan kelak. Malahan orang seperti ini akan Allah laknat kerana bersifat bakhil dengan ilmu yang bukan miliknya. Sesungguhnya Allah benci kepada manusia yang suka kepada perbuatan sia-sia.
Merujuk kembali kepada pokok bicara kita, umat Islam diajar oleh Rasulullah untuk menyampaikan setiap ilmu yang bermanfaat kepada sesiapa saja. Malangnya hari ini lebih ramai yang menyembunyikan dari yang menyampaikan. Situasi ini terjadi kerana wujud segelintir golongan yang bersikap ingin menguasai sesuatu bidang ilmu supaya dirinya dihormati, dimuliakan dan disanjung tinggi. Keinginan menjadi manusia yang lebih hebat dari manusia lain menjadi punca mereka bersikap tamak dan mementingkan diri sehingga melupakan amanah Allah sebagai khalifah. Sewajibnya kita selaku golongan yang punya sedikit ilmu ini hendaklah berkongsi dan menyampaikan kepada yang lain kerana ilmu Allah tidak pernah kering walau sebanyak mana kita beri pada yang lain. Malahan janji Allah setiap ilmu yang disebarkan itu akan diangkat sebagai satu bentuk amal jariah dan akan memberi manfaat kepada kita apabila berada di alam barzakh kelak. Malahan, bila kita bermurah hati berkongsi ilmu maka Allah akan membukakan pintu-pintu dan rahsia-rahsia ilmu-NYA yang lebih besar untuk kita.
Bila kita berbicara tentang ilmu, ingatlah falsafah ini, 'ILMU ITU BUKAN UNTUK DIMILIKI TETAPI UNTUK DISEBARKAN. ILMU ITU BUKAN MILIK KITA TETAPI MILIK YANG MAHA PEMILIK YAKNI ALLAH SWT.'
Wassalam
P/s: Nabi Muhammad merupakan junjungan besar Umat Islam. Maka setiap kali mendengar nama Baginda hendaklah kita mengucapkan selawat sebagai tanda ingatan dan kasih kepada Baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan