Selasa, 27 September 2011

Hidup Tak Selalu Indah


Hidup ini tak selalunya indah. Bukan setiap hari orang di sekeliling kita akan berusaha untuk membuat kita tersenyum. Ada masanya kita terpaksa mengukir senyuman itu bagi mengurangkan rasa gusar dan gundah yang sedang bergelora dalam jiwa kita. Aku tak terlepas dari semua rasa itu. Aku juga manusia yang akan sentiasa diturunkan dugaan bagi menguji kekuatan iman aku.

Bagi sesetengah orang kebahagiaan dalam diri mereka boleh datang kerana perkara-perkara yang sangat kecil dan mudah (simple). Boleh sahaja seorang ayah rasa gembira kerana anak kecilnya menghadiahkan lipatan origami dari kertas kumal yang tiada nilai pada mata orang lain atau sahaja bahagia seorang ibu mendengar ucapan terima kasih seorang anak sedang pada pendengaran orang lain ucapan itu hanyalah sesuatu yang biasa. Seorang anak kecil pula dengan mudah mengukir senyum tatkala disuakan dihadapan bibirnya sebiji gula-gula yang harganya kurang daripada 20 sen.

Aku berfikir...
Mengapa?
Mengapa semudah itu manusia sudah mampu rasa gembira dan bahagia?
Sedangkan diri aku terus bergelumang untuk mengejar sesuatu yang disebut kebahagiaan...
Dan aku merasa seolah-olah dunia ini tidak mahu aku menggapai bahagia itu pada saat ini selepas segala masalah yang bertimpa-timpa terpaksa aku hadapi.

Hidup aku ini sedang bermain dengan emosi dan pemikiran aku yang tak pernah berhenti. Indahnya hidup ini apabila manusia yang mengaku beriman dengan Rabbnya meletakkan kesyukuran dan kesabaran sebagai pasak kepada segala perkara yang ditimpakan kepada mereka. Mereka punya harapan dan impian yang besar namun mereka mensyukuri segala adanya kurniaan Ilahi.

Sedang aku?

Terus-terusan mencari kesalahan dan kelemahan sekeliling aku yang membuat aku rasa sebagai seorang gagal yang tidak berguna. Betapa aku ini tidak tinggi sabar dan syukurnya terhadap apa yang ditimpakan kepada aku. Benar kehidupan ini tidak selalu indah namun keindahan itu sebenarnya terletak kepada pemikiran kita. Jika aku mahu hidup ini sentiasa diharumi bunga-bunga bahagia aku sepatutnya lebih positif dan sentiasa berusaha menerima segala ketentuan Allah.

Kalian boleh sahaja katakan yang aku bodoh tatkala dan aku akan terimanya kerana aku memang seorang yang bodoh kerana tidak mengambil peluang besar di hadapan aku. Allah itu menyayangi hambaNya dengan pemberian dugaan yang tidak putus-putus supaya hamba tidak pernah lupa untuk beribadah, berusaha dan bertawakal kepadaNya.

Ya Allah jadikanlah dugaanMu ini anugerah terindah yang pernah aku miliki dan kuatkanlah hati ini di atas segala apa yang terjadi. Amin ya Rabbal Alamin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan