Ahad, 25 September 2011

Kisah Hati

Assalamualaikum...

*Aku tak pasti bila aku mula menaip kisah ini. Aku Cuma perasan semula coretan ini masa aku cari dokumen lain dalam Microsoft word. Maka mungkin celaru sedikit cerita ni.

(Pada suatu hari yang aku gagal kenal pasti bila. Berkemungkinan semasa peperiksaan semester 4 tahun ke-2 )

Sesuatu yang memang tak sepatutnya aku lakukan dalam situasi aku sedang sibuk berperang dengan peperiksaan. Namun inilah satu semangat yang aku tak sangka aku akan rasa setelah lama aku dengan dia. Selama ini aku makan hati. Aku selalu rasa diri aku tak diendahkan lebih-lebih lagi selepas dia begitu sibuk dengan kerjayanya.

Hari ini tanpa aku harap dia luahkan semuanya. Perakuan yang lancar dari bibirnya tanpa langsung ada rasa paksaan atau bebanan seperti sebelum ini. Dia semakin bijak mengusik dan berjenaka. Ekspresi diri dia lebih dari sebelum ini.

Apa lagi yang boleh aku luahkan untuk menyatakan rasa hati ini. Terlalu bahagia aku rasa. Terharu...itu yang lebih aku rasa saat ini. Dia terlalu istimewa. Buah hati pengarang jantung. Dia lelaki yang ingin aku temukan dengan kedua ibu bapa ku. Orang yang tak pernah berbelah bahagi kasihnya untuk aku. “Berapa banyak pun perempuan yang cantik dan baik dari ayang yang abang jumpe, ayang tetap yang terbaik untuk abang. Ayang tetap yang paling abang cinta.” Ya Rabb kau tetapkanlah hati ku ini untuk terus menanti dia menjadi imam di hatiku....

(Artikel ni pula aku buat kesinambungan kepada memori yang di atas)

Dan bukan lagi sesuatu yang pelik kalau aku dan dia terus-terusan bertengkar kerana perkara yang sama secara berulang. Tak perlu tercengang jika dialog pergaduhan yang kami utarakan turut sama. Itulah kami sentiasa bergaduh hal yang sama. Mungkin jarak membuatkan kami kadang-kala kelihatan seperti pasangan yang tak sekufu. Bukan aku tak pernah mencuba mengenali hati budi yang lain namun jiwa aku telah lama terikat dengan jiwanya. Mungkinkah doa yang aku lantunkan kepada Allah tiap kali selesai lima waktu telah menunjukkan denai-denai yang patut aku lalui dengan hati yang besar.

Hidup ini selalu kena memilih. Salah satu pilihan terpenting dan terbesar dalam kehidupan ini adalah memilih pendamping kehidupan ini. Aku rasa aku dah buat pilihan yang aku rasakan tepat dan kemungkinan tiada lagi yang boleh menjadi pengganti dirinya (kalau kita tengah tangkap cintan bak kata orang sekarang, kentut pun bau wangi beb). Tapi pilihan ini aku yang rasa tepat bukan pilihan yang telah ditetapkan Allah untuk aku. Maka aku sebagai hambanya yang sangat kerdil perlu mengikut apa yang telah disarankan oleh Rasulullah (melakukan istikharah) lebih-lebih lagi dalam situasi ini terdapat beberapa pilihan lain yang buat aku rasa tak keruan untuk menyatakan rasa hati aku yang sebenarnya kerana aku takut kehilangan orang yang sentiasa bersama aku saat aku memerlukan seseorang meluahkan perasaan.

Rasanya sudah terlalu lama aku mementingkan diri demi kebahagiaan aku dan aku hanya memberikan kebahagiaan yang pura-pura kepada orang yang berharap kepada aku. Atau lebih tepatnya aku hanya membina satu impian palsu untuk orang yang benar-benar mengharapkan aku. Ya Allah..sekian lama baru aku sedar betapa kejamnya aku kepada hambaMu yang lain. Aku ini penindas. Hinanya aku kerana hanya petah mengeluarkan mutiara dari tutur kata aku tetapi mengeluarkan bias-bisa berduri dari segi laku aku pada yang lain. Aku dalam kelalain selama ini dan aku sudah tidak kuat lagi untuk terus menjadi hamba yang hanyut dalam kehendak hati yang tidak berpaksi kepada jalan Allah.

Apakah kata terbaik untuk aku habiskan kisah aku kali ini? Aku sendiri tidak tahu dan kalian pastinya lebih tidak mengerti apa yang paling sesuai untuk diungkapkan kerana semuanya samar-samar, sama seperti hati aku ketika ini. Hati ini terlalu kuat untuk memilih dia sebagai imam aku namun ada suara kecil yang masih menyuruh aku untuk membuka hati ini untuk yang lain dan terus memegang apa yang aku miliki tika ini dan melepaskan semua itu apabila aku dah punya jawapan sebenar. Cukuplah aku yang menanggung beban ini dan tak seharusnya aku mengikat orang lain demi rasa tidak selamat yang wujud dalam diri ini. Sahabat, janganlah kalian mementingkan diri kerana hanya rasa bersalah yang akan mengekori kamu selagi kamu hidup untuk menghela nafas.

Wassalam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan