Suami kepada emak yang tercinta. Ayah kepada 8 orang cahaya mata. Itulah orang yang pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya.
AYAH!
Perginya tanpa tanda mahupun sekelumit pesan. Hanya sebuah pesanan ringkas untuk aku semasa ulang tahun kelahiran aku yang ke-24 tahun.
Semoga ditingkatkan iman aku. Itu doa ayah.Mencoretkan kisah ayah pada masa beliau sudah tiada di alam fana ini bukan sesuatu yang mudah bagi aku. Tambahan aku juga layak digelar ratu air mata, aku mengambil masa yang lama untuk terus bercerita di sini.
Semoga aku sabar. Itu pesan ayah.
Khabar sedih dan mengejutkan ini aku terima ketika sedang berjuang untuk kertas terakhir aku bagi peperiksaan akhir semester 7. Hanya sejam sebelum itu aku terima berita itu. Jika satu masa dulu aku rasa aku takkan mampu untuk menjalani peperiksaan dalam situasi seperti ini namun aku diberi kekuatan untuk melakukannya. Namun selesai menjawab kertas peperiksaan, aku memang tak kuat lagi untuk menahan air mata. Benteng pertahanan aku yang terakhir runtuh dan air mata aku berhamburan keluar. Aku tahu aku takkan sempat tengok jenazah. Aku takkan sempat melihat sekujur tubuh ayah yang tidak lagi bernyawa untuk kali terakhir. TIDAK AKAN SEMPAT DAN PELUANG ITU SUDAH TIADA.
Dua minggu sebelum itu aku, emak, Shahir dan ayah sempat bercuti ke Pulau Aman, Pulau Pinang. Mungkin itu cuti terbaik untuk ayah. Cuti terakhir ayah di sini sebelum pergi menghadap Ilahi. Kami lepaskan ayah menghabiskan masa bersama Pak Ngah, abang kepada ayah. Berbual, berjalan-jalan sekitar pulau dan bersama-sama ke surau menunaikan 5 waktu. Itu aktiviti mereka berdua. Setiap kali masa makan, ayah makan dengan penuh berselera dan kami tak halang apa pun yang ayah nak. Percutian yang biasa pada masa itu aku rasakan tetapi menjadi luar biasa apabila ayah tiada lagi.
2 minggu sebelum ayah pergi, ayah sempat berkumpul bersama semua anak-anaknya termasuklah menantu beliau. Masa yang sangat membahagiakan. Berkongsi cerita, bergurau senda dan mengenang kisah-kisah lama keluarga kami. Perkara yang biasa tapi masih sangat menyenangkan untuk keluarga kami.
Hari ini sudah lebih 3 minggu. Perginya ayah bukan sahaja dirasai oleh kami sekeluarga tetapi juga orang-orang yang pernah mengenali. Kami sangkakan mungkin kami adalah orang yang paling terasa dengan ketiadaan ayah. Sebaliknya ada yang lebih sedih dengan perginya ayah tanpa pesan. Dalam diam banyak hati yangtelah diusik oleh ayah. Banyak kehidupan orang yang ayah bahagiakan. Kami semua tak mampu untuk coretkan kisah itu. Minggu pertama pemergian ayah rumah kami tak pernah lengang daripada kunjungan sahabat handai ayah. Tak kira kawandari zaman kanak-kanak ayah sehingga la kawan-kawan di hari tuanya.
Menjejakkan kaki ke pasar pada hari ini bukan lagi perkara yang mudah untuk aku. Tempat itu adalah lokasi kegemaran aku dan ayah. Sehingga ke hari ini masih ada lagi kawan-kawan yang ayah hanya kenal di pasar dan bertegur mesra di sana masih tidak percaya yang ayah sudah tiada. Ada yang pesan supaya aku tabah, ada yang hampir dan menepuk lembut bahu aku. Ahhh...apa lagi yang mampu aku ungkapkan. Ayah terlalu baik dengan orang. Ramai sayang ayah sehingga ada satu saat kebaikan ayah dengan ramai orang menjadi sesuatu yang menjengkelkan dan menyakitkan bagi orang yang punya pertalian darah dengan kami.
Luka hati ini masih belum sembuh bukan kerana aku kehilangan ayah tetapi kerana perlakuan sebilangan kecil manusia terhadap arwah sepanjang hidupnya. Hati ini masih sakit melihat kurangnya simpati yang disalurkan kepada emak.
Terlalu banyak perkara yang menindas kami namun tak pernah ayah ajarkan kami tentang dendam. Jauh sekali membalas perbuatan mereka dengan sesuatu yang lebih dahsyat. Kata ayah kita ini manusia, orang lain juga manusia dan makhluk ciptaan Allah. Kita semua ada lemahnya, ada jahilnya. Maka jangan cuba menjadi Tuhan dengan menetapkan hukuman ke atas orang lain. Allah akan balas. Kita berdoalah, ringankan hati dan lidah setiap hari untuk sedekahkan bacaan al-Fatihah kepada sesiapa sahaja yang menyakitkan hati kita.
Hati ini lebih sayu bila kawan-kawan ayah yang bukan beragama Islam juga menitiskan air mata bila kami khabarkan berita ini. Aku tak tahu apa bakti ayah kepada mereka tapi yang pastinya mereka juga tersentak. 2 minggu selepas ayah meninggal seorang bekas pelajar SMK Sungai Kertas hantar sms ke nombor telefon ayah untuk mintak tolong ayah jadi coach bagi team bola sepak dia. Berat hati aku nak bagi tau yang ayah dah tak ada. Percayanya budak tu dengan ayah sampai bersungguh mintak tolong, walaupun tak mampu nak bayar ayah untuk upah tapi katanya akan diusahakan bayaran untuk ayah tapi tak banyak..
Apa lagi yang aku boleh cakap. Ayah dah tak ada. Cuma kenangan yang ada bersama kami.
KHAS UNTUK ADIK-ADIK SUTAS SOCCER.
TERIMA KASIH KERANA MENJAD ANAK-ANAK YANG BAK SEPANJANG MENGENALI PAK DIN. APA SAHAJA YANG KAMU LAKUKAN BENAR-BENAR MEMBERI KENANGAN YANG BAHAGIA UNTUK PAK DIN.
PAK DIN SAYANG KAMU SEMUA SEPERTI ANAK PAK DIN SENDIRI. KAK LEHA SANGAT BERHARAP YANG KAMU SEMUA TERUSKAN PERJUANGAN KAMU SAMA ADA DALAM PELAJARAN ATAU SUKAN DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH. SEMUA NASIHAT DAN ILMU YANG PAKDIN BERIKAN KEPADA KAMU GUNAKANLAH SEBAIK-BAIKNYA DAN SAMPAIKAN DAN KONGSI ILMU ITU DENGAN ORANG LAIN.
JIKA KAMU SAYANG PAK DIN, INGATLAH APA SAHAJA ILMU BAIK YANG PERNAH PAK DIN BERIKAN KEPADA KAMU ITU AKAN BANTU PAK DIN DI SANA. SELAGI MANA KAMU AMALKAN DAN KEMUDIAN KAMU KONGSIKAN KEPADA ORANG LAIN SELAGI ITU PAHALA DAN KEBAIKAN ITU KAMU BERIKAN KEPADA ARWAH DI SANA.
PAK DIN MEMANG TIADA LAGI BERSAMA KITA SEMUA TAPI INGAT SEMANGAT ARWAH ITU AKAN SELALU DENGAN KITA.
TERUSKAN USAHA KAMU SEMUA DAN SESIAPA SAHAJA YANG AKAN MENGAJAR KAMU SELEPAS INI, HORMAT DAN KASIHI MEREKA SEBAGAIMANA KAMU HORMAT DAN SAYANG KEPADA PAK DIN. KEJAYAAN KAMU BUKAN BERGANTUNG KEPADA SIAPA YANG MENGAJAR KAMU TAPI ATAS USAHA KAMU DAN KEBERKATAN YANG KAMU DAPAT DARIPADA GURU KAMU.
TERIMA KASIH ADIK-ADIK SUTAS KERANA KAMU ADALAH PERKARA TERBAIK YANG PAK DIN PERNAH ADA.
Wassalam
AL-FATIHAH
28 FEBRUARI 1954 - 09 JANUARI 2013
ALLAHYARHAM SAHARUDIN BIN PARMIN
aku pun terkejut masa dapat tau berita ni. aku ingat lagi kenangan main badminton sama2 dengan arwah dulu2. semoga arwah ditempatkan dlm kalangan orang2 yang beriman. amin.
BalasPadamQue, tolong sampaikan kat ayah kau ye pasal berita ni. Kitorg satu family dah xigt sape lagi nak bagi tau pasal ni. Yg dekat2 sini dapat la sampaikan berita itu pun ramai gak yg tak tau.
Padam