Semoga semuanya sihat belaka. Aku sebenarnya teragak-agak untuk menaip entri kali ni. Bercampur antara emosi dan sakit kepala (tiba-tiba migrain aku datang pulak). Macam yang kalian dah baca di atas, tajuk aku kali ini 20 hari lagi. Hari ini 8 Disember 2011 tambah lagi 20 hari maka kita akan pergi ke tarikh 28 Disember 2011. Mungkin pada sesetengah orang tarikh itu tiada signifikannya dalam hidup anda. Namun bagi setengahnya yang lain berkemungkinan sedang menyambut ulang tahun kelahiran ataupun other annivesary dalam kehidupan mereka. Kepada sesiapa yang menyambut sebarang karaian pada hari tersebut aku ucapkan selamat semuanya.
Aku tidak meraikan sebarang momen indah pada hari itu tetapi aku memperingati sesuatu yang sangat dekat dengan hati aku dan ahli keluarga aku. Tarikh ini akan genap setahun pemergian arwah kakak aku. Rasanya macam baru semalam aku terima perkhabaran pemergiannya dari doktor sedangkan insiden itu telah berlalu setahun yang lalu. Aku bukan mahu bersedih tetapi kenangan hari-hari terakhir dengannya selalu bermain di benakku. Aku masih ingat yang dia minta aku masakkan nasi lemak untuknya, meminta aku menggosokkan baju kurungnya untuk dipakai berjumpa dengan doktor. Hari-hari akhir bersamanya selalu saja aku yang dipanggil untuk melakukan hal-hal yang perlu baginya.
Semenjak arwah sakit dan sering keluar masuk hospital aku antara yang setia melawat arwah di hospital. Walaupun masa tu aku dah belajar di Terengganu tapi mungkin sudah takdir Ilahi arwah sering saja di masukkan ke hospital semasa aku cuti semester. Aku akan melawat arwah dan temankannya walau hanya untuk 30 minit setiap kali aku berjumpa dengannya. Aku akan ceritakan semua kejadian yang berlaku di kampus. Insiden-insiden lucuku sentiasa saja mencuit hatinya. Kakak-kakak yang lain semuanya bekerja. Semasa arwah masih ada emak dan ayah aku masih bekerja. Maka di rumah hanya aku dan arwah saja. Dia la pendengar setia cerita-cerita aku dan orang yang setia makan masakan aku yang tak sedap mana. Dia teman aku tengok tv kira semuanya dia.
Kalau di hospital pula aku selalu datang belah petang. Jadi aku akan masak awal dan bawa makanan untuk arwah. Kalau arwah tak habis makan aku yang akan habiskan makanannya. Kalau orang sihat yang makan memang sedap lauk hospital tu. Selalunya memang aku yang habiskan ada masa aku bersemangat pergi jumpa arwah sebab nak rasa makanan hospital.
Aku tak berapa rapat dengan arwah tapi sejak arwah mula keluar masuk hospital aku semakin akrab dengannya. Aku tak pernah tahu serius mana sakit arwah dan aku tak tahu sakit arwah boleh bawa maut. Pemergiannya sangat aku tak jangka begitu juga ahli keluarga yang lain.
Banyak yang aku nak cerita tapi dah tak mampu nak menaip dengan air mata yang tak henti mengalir. Apa yang buat aku terkilan dengan pemergian arwah adalah aku tak sempat nak minta maaf dengan dia dan bagi tahu dia betapa aku sayang dan bangga ada kakak yang baik macam dia.
Al-Fatihah untuk Angah.
Coretan Untuk Angah...
"Aku dah lama nak menulis untuk kau Angah sebelum kau pergi lagi aku memang nak menulis tentang kau kat blog ini. Aku nak kau baca cerita pasal kau dari pandangan mata aku. Aku nak buat entri pasal kau yang kelakar sebab kau suka dengar lawak aku. Aku rindu kau sangat Angah. Kadang-kadang kalau aku sedih sangat aku menangis aku cakap sorang-sorang, aku luah semua yang aku nak kat kau walau aku tahu kau tak ada depan mata aku. Setiap kali balik KL setiap kali tu aku kena ingatkan diri aku yang kau dah tak ada tunggu aku depan muka pintu dan dengar cerita aku. Setiap kali ada kenduri kat rumah kita tiap kali tu juga aku akan ingat betapa seronoknya satu masa dulu kita berlima duduk sama-sama dan bercerita. Aku nak kau tengok aku dengan adik graduasi tapi apa daya Allah sayang kau lebih dari kami. Kami masih boleh tengok kau sakit Angah tapi Allah dah tak mahu kau menderita sebab tu Allah hilangkan sakit kau dan ambik kau duduk dengan Dia. Berbahagialah Angah kau kat sana. Kami tak pernah lupakan kau dan tak pernah lekang doakan kau bersama orang-orang yang beriman."
Wassalam
Salam, Al-Fatihah, sesungguhnya diri ini juga terasa kehilangannya yang meninggalkan kita sekeluarga nanti. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.
BalasPadamSama-sama kita berdoa ya achik.