Isnin, 5 Mac 2012

Cinta Semanis Coklat

Assalamualaikum.

Apa khabar semua? Harap sihat, bahagia dan ceria semuanya ye. Boleh tahan lama aku tak keluarkan cerita baru. Ini ada cerita baru. Cerita cinta dan coklat. Hahaha...ayat drama swasta lagi aku ni. Beberapa hari lepas aku baru balik dari Johor Bahru. Jalan-jalan jumpa kawan yang ada kat area-area sana. Apa yang penting jalan-jalan cari pasal aku kat sana ditanggung sepenuhnya. Miahaha..tak nak cerita panjang nanti ada yang cemburu. Tetapi apa yang lebih penting adalah seorang ni la untung sebab dapat mengikut.

Paling best pergi borong coklat. Lebih seronok bila tukang belanja cakap macam ini,
"Ambil je mana nak. Harga tak payah tengok. Bukan selalu pun belanja macam ni".
Gila kau tak seronok. Tapi sayangnya aku ni bukanlah penggemar coklat sangat. Coklat yang aku suka cuma brand Hershey's Kisses. Makanya masa beliau cakap macam tu aku hanya cari coklat tu terus. Tapi aku ambil pun tak banyak sangat. Beli juga untuk kawan-kawan kelas tapi salah budget lak berapa banyak sebab aku macam tak boleh fikir dengan betul berapa banyak aku nak ambil. Kalau banyak-banyak sangat nampak macam tamak+tak tahu malu sebab orang belanja. Lagi pun mood aku tak berapa elok masa tu dan aku pun tak teruja sangat orang belanja coklat.

Walaubagaimanapun, aku rasa lebih menghargai bila aku dah balik semula ke Terengganu. Orang tu ikhlas belanja. Aku ni pulak tak pandai nak mintak dan dia pun tak tahu apa yang aku suka. Kebiasaannya perempuan kan suka coklat, bunga dan teddy bear mungkin sebab tu dia bawak aku shopping coklat (tapi sayangnya aku bukan perempuan kebiasaan kalau tak, takkan aku pakai baju kurung dengan sport shoes). Sekarang ini aku rasa sayang pulak nak makan coklat tu. Alahai..tiba-tiba aku jiwang pulak. Kehkeh...Tak pe la. Nanti coklat tu aku makan tapi plastik dia aku simpan buat kenang-kenangan.

Berbalik kepada aku beli coklat untuk kawan-kawan. Bila balik rumah aku kira-kira la coklat tu. Sekali tu tak cukup, maka aku buka sepeket coklat Hershey's Nugget (ini coklat aku sebenarnya tapi aku buka untuk agihkan pada kawan-kawan supaya semua dapat). Masa agih-agihkan dalam kelas aku tulis note dah. Macam ni bunyinya,
Inilah balang coklat tersebut
bersama nota.
"Seorang ambil satu. Sharing is caring"
 -Love- :)   

TAPI...TAPI...

Mungkin kerana coklat tu sedap sangat ada juga yang ambil lebih padahal aku dah cakap ambil satu sorang biar semua merasa. Siapa yang nak lebih mintak kemudian aku akan bagi yang lain.

TAPI...TAPI LAGI...

Member aku ni memang tak makan saman. Beliau ambil juga lebih sambil buat muka comel depan aku. Hai..takpe la. Dihalalkan sudah coklat tersebut. Dah orang tu nak sangat kalau kita tak bagi nanti kempunan pulak. Aku juga yang rasa bersalah nanti.

Disebabkan oleh ada orang yang ambil lebih, maka ada lagi yang belum dapat merasa coklat tersebut. Bagi mengatasi masalah tersebut aku bersama Si Kecik Afaf dan housemate baru kami merangkap classmate kami iaitu Kak Tieha pergi la GIANT untuk cari coklat yang sama. 

Fuhhh!!!
Inilah coklat-coklatnya
(tiba-tiba ada iklan laptop ACER lak)
Nasib baik ada coklat yang sama kat situ. Lega hati aku. Boleh la bagi orang yang tak dapat lagi coklat merasa sama. Esok atau lusa aku nak bagi kepada kawan-kawan yang belum dapat lagi tapi diorang akan dapat extra sebab delay delivery. Hihihi...

Rasanya itu je la cerita aku kali ini. Mata pun mengantuk dah. Kena masuk tidur. Esok nak kuliah pula. Selamat malam sahabat semua.

P/s: Sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian ikhlas orang kepada kita. :)



Isnin, 27 Februari 2012

Rak buku, Printer dan Kasut Tumit Tinggi.

Assalamualaikum
Harapan aku diiringi doa semoga kalian semua sihat sejahtera dan terus taat menjalankan kewajipan sebagai khalifah muka bumi Allah. Entri kali ini telah terperap agak lama lebih kurang dalam empat hari kerana sebab-sebab tertentu. Alasan-alasan munasabah yang mengakibatkan aku lambat nak habiskan cerita kali ini adalah disebabkan:
  1. Aku malas
  2. Aku sibuk dengan perkara-perkara yang aku sendiri tak pasti sama ada perlu atau tidak aku menyibuk sehingga aku sendiri jadi sibuk.
  3. Aku asyik tidur sepanjang hari. Bangun bila matahari meninggi (memang tak sesuai buat bini), perut dah lapar pergi mandi, makan dah kenyang sambung balik membuta. Memang tak ada life macam itu.
  4. Aku duk layan cerita korea+layan perasaan (kes senyum sorang-sorang tengok pakwe Korea kacak)
Cukup rasanya alasan aku tu. Kesimpulannya adalah aku tidak memiliki azam yang kuat untuk menghabiskan sesuatu kerja dengan pantas selepas mula melaksanakannya (termasuklah dalam isu buat assignment).

Cerita kenapa aku perap cerita ini lama dah selesai. Kita boleh bergerak kepada cerita yang berkaitan dengan entri ini pula.

Khamis yang lalu semua pelajar ijazah kat universiti aku belajar menerima pembayaran pinjaman PTPTN. Maka aku dan si kecil Afaf telah membuat keputusan beberapa hari sebelum itu bila masuk je duit kami akan pergi beli semua barang keperluan, dari barang-barang dapur sebab kami duduk menyewa sehinggalah barangan yang berkaitan dengan keperluan peribadi dan pelajaran. Tapi rasanya aku yang banyak membeli dari si Kecik. Hehehe...

Perghh.. bukan main hijau
lagi rak aku.
Penuh buku dan juga balang biskut.
Antara barang yang aku beli dan termasuk dalam list 'sangat perlu' adalah seperti tajuk entri kali ini. Aku sangat memerlukan sebuah rak buku kerana koleksi buku aku yang terlebih banyak sampai aku tak sempat lagi nak menghabiskan semuanya. Sebelum ada rak buku, aku terpaksa letak buku-buku tersebut dalam kotak. Bila dah dalam kotak maknanya aku tak nampak la buku-buku tu depan mata. Makanya akibat sifat kemalasan yang tak boleh dipisahkan dari diri aku ibarat isi dengan kuku, aku pun tak sentuh langsung buku-buku tersebut kecuali dalam keadaan tertentu seperti nak cari maklumat yang berkaitan dengan pelajaran aku barulah buku-buku itu mendapat 'belaian kasih sayang' daripada aku. Atas alasan tersebut mendapatkan sebuat rak buku amat-amat menjadi prioriti aku.

HP Deskjet 2000 (J210a)
Rm115 jer..
Seterusnya adalah printer. Keperluan alat ini tak usah dicanang-canangkan lagi. Dah tentulah sebab aku nak print assignment. Kalau aku buat kerja last minutes (memang pasti confirm sure buat kerja saat akhir) aku tak perlu lagi nak terkejar-kejar ke sana sini cari mesin pencetak mahupun beratur panjang kat library sebab nak print assignment (paling sakit hati, punya lama aku beratur bila sampai turn aku boleh blackout pula satu library). Malahan jimat duit tak payah nak fikir keluar duit untuk print lagi. Wah...sangat bahagialah aku rasa sebab berjaya membeli sendiri printer ini. Hihihi...

Kasut BnC jer...


Selesai dua objek yang memang nampak sangat keperluannya dalam hidup aku sebagai seorang student secara jelas. Benda yang ketiga tu nampak macam tak ada kepentingan sangat betul tak? Baiklah, mari sahabat aku terangkan. Sekiranya aku ini seorang perempuan atau wanita yang normal citarasanya dalam berpakaian maka pembelian kasut tumit tinggi memang tiada kepentingan dalam pembelajaran aku. Namun disebabkan kepelikan aku dalam berfesyen bak kata orang lain kan, pembelian dan pemilikan sepasang kasut tinggi yang tumitnya hanya setengah inci sekalipun tingginya adalah sangat penting untuk aku. 
Ini semua gara-gara subjek pengucapan awam dan debat bawah seliaan ibunda tercinta Puan Hafiah Yusof. Demi Puan Hafiah saya rela.

*Solehah, why dont you just wear any shoes that you have right now?

Why? kalian tanya why? Alasannya kerana aku selalu pergi kelas pakai baju kurung dengan sport shoes tak pun sneakers. Takkan aku nak buat pengucapan awam pakai kasut macam tu. Tak ada etika sungguh. Bak kata orang lagi mencacatkan pemandangan dan nanti orang tak fokus dengan apa aku nak cakap sebab duk tenung kasut aku yang tak sesuai dengan pakaian. Demi pembelajaran aku dan demi menyembahkan satu persembahan yang terbaik aku beli kasut ini dan belajar berjalan guna kasut bertumit. Petang tadi aku pergi kelas pakai kasut ini. Dah tu ada kawan aku tegur macam ni ;
"Wah, Solehah! Cantik Kasut". Ok, part ni hati aku kembang.
TAPI part ni aku paling tak tahan.
"Fuyoo, Solehah! Ang jalan macam perempuan".
Ceit! Selama ini aku jalan tak serupa perempuan ke? Aku bukan marah cuma terfikir sebelum ini hodoh sangat ke cara jalan aku??? Aku rasa nak gelak pun ada dengar komen kawan aku yang seorang ini.

Rasanya itu je la dulu cerita aku buat masa ini. Lega dapat berbelanja secara berhemah kali ini. Jumpa dalam cerita yang lain ok. Moralnya beli barang itu biarlah ada keperluannya lebih-lebih lagi kita ini pelajar dan dapat duit pinjaman atau tajaan gunalah dengan baik jangan nak main suka je beli itu ini. Lagipun orang yang suka membazir tu kan sahabat syaitan. Nanti orang cakap kau tu kawan dengan setan kau marah pulak padahal terang-terang mengikut hasutan makhluk itu. Mudahnya buat senarai barang apa nak beli supaya tak beli benda yang mengarut. Fikir-fikirkanlah.

Wassalam.

Selasa, 21 Februari 2012

Inilah Kehidupan

Assalamualaikum.
Rindu nak bercerita. Lama dah aku menyepi kerana bercuti bersama bonda dan ayahanda yang tercinta. Menerawang sehingga ke utara tanah air, Kedah dan Perlis. Itulah destinasi yang menjadi pilihan kami. Bukan sahaja makan angin tetapi juga mengeratkan silaturrahim kerana memenuhi undangan sambutan Maulidur Rasul serta majlis perkahwinan saudara jauh kami.
Boleh tahan seronok tambah memenatkan. Hehehe..aku ni pun dah rasa nak demam. Minggu depan aku akan kembali ke bumi Terengganu untuk kembali belajar selepas berehat panjang hampir sebulan lebih. Macam-macam cabaran yang aku hadapi sepanjang semester yang lepas dan aku harap aku akan jadi lebih kuat selepas ini.

Itu mukadimah je kawan. Cerita sebenar baru nak bermula. Ini kisah aku. Kisah yang selama ini aku simpan (yeke aku simpan?) Kisah keluarga yang ada masanya bahagia, kadang-kala suram dan ada ketikanya panas macam perang Zionis.

Pernah tak korang rasa mak ayah korang pilih kasih?

ATAU

Kalian rasa kakak atau abang atau adik kalian selalu cemburukan kalian?

ATAU

Korang yang rasa korang benci dan menyampah sangat dengan keluarga korang yang selalu je buat korang rasa sakit hati?

Jika YA untuk semua soalan di atas atau salah satu daripadanya itu adalah tanda anda manusia normal yang punya sifat mazmumah. Tapi perasaan itu hanya sementara. Bila pemikiran kita dah mula rasional kita akan sedar bahawa semua itu hanya ujian Allah kepada kita supaya kita sentiasa memikirkan kelemahan kita dalam kehidupan seharian sehingga kita mendapat layanan sedemikian atau kita berasa hati sehingga tahap begitu.

Kebiasaanya kita suka lihat apa yang ada pada orang dan tak ada pada kita. Kemudian kita mempertikaikan semua itu dan mengatakan ia tidak adil. Kita jarang sekali hendak melihat apa yang kita ada tapi tidak ada pada orang lain. Sedangkan cara itu menambahkan kesyukuran kita kepada Allah. Manusia sering mencari jalan untuk jauh dari Rabbnya sedangkan banyak perkara yang diwujudkan untuk kita selalu dekat kepada Pencipta yang esa. Allah bagi kita rasa susah supaya kita tahu rasa senang TAPI masa kita susah kita mengeluh kisa salahkan Allah tak adil pada kita lain bila kita senang sikit syukur tak ingat kita nak panjatkan pada Allah dan mengaku semuanya selayaknya kita dapat sebab kita dah usaha sungguh-sungguh. Allah bagi kita sakit biar kita faham indahnya sihat TAPI kita bising kenapa Allah biar kita sakit dan tak mampu nak bekerja dapat semula nikmat sihat itu kita puji yang lain. Ubat itu bagus lah, doktor itu hebat la, alat itu berkesanlah sedangkan jika Allah kata Kunfayakun maka jadilah apa yang ditetapkan Allah. Lalai lagi kita menerima semua itu sebagai tarbiah dari Dia.

Hakikatnya itulah manusia. Sering alpa dengan dunia. Aku tak menuding jari kepada sesiapa tapi ini pesan untuk aku. Aku menulis ini bukan mahu pujian kalian bukan nak semua orang tahu aku ini punya kurniaan Allah dalam penulisan tetapi lebih sebagai satu lembaran untuk aku ulang-ulang baca supaya aku tak lupa dengan kehidupan lalu aku yang mendidik aku menjadi manusia seperti hari ini. Kalau satu hari nanti aku mati biarlah blog ini terus ditatap dan dibaca oleh orang lain. Mungkin ada kisah yang sedikit peribadi dan orang rasa tak perlu dicerita tapi bagi aku ini kisah hidup yang perlu dikongsi supaya kebodohan aku yang lalu jadi iktibar pada yang membaca dan mereka tidak mengulanginya.

Wassalam.

p/s:berkongsilah sahabat perkara yang memberi manfaat supaya manfaat itu berterusan dan mudah-mudahan kita beroleh kurnia dari DIA.